Nov 22, 2022

TOURISM MALAYSIA MEDIA EXPLORE RACE 2022 PLATFORM ERATKAN HUBUNGAN MEDIA, PROMOSI PRODUK PELANCONGAN DOMESTIK


PUTRAJAYA, 22 November 2022 – Seramai 88 pengamal media termasuk 11 penyertaan antarabangsa dari Indonesia, Thailand dan Brunei, berentap dalam penganjuran Tourism Malaysia Media Explore Race (TOMER) 2022 yang julung-julung kalinya diadakan bersempena sambutan Jubli Emas Tourism Malaysia, bermula hari ini.

Berlangsung selama 3 hari 2 malam, penganjuran TOMER 2022 diadakan dengan kerjasama Perodua sebagai penaja utama selain Montanic Adventure Store, BoraOmbak Marina Putrajaya, Selangor Fruit Valley, STEG Hotel Kuala Lumpur, Bagas Zakariah, Wonda Coffee dan Pepsi.

Pelepasan para peserta disempurnakan oleh Datuk Mohd Zamri Mat Zain, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Marina Putrajaya dan turut dihadiri oleh Dato’ Hj. Zainuddin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia. Dalam cabaran kali ini, para peserta akan menempuh misi kembara dan eksplorasi harta karun sejauh lebih 300 kilometer secara berkumpulan dengan menaiki kereta tajaan Perodua.

Di sepanjang perjalanan, para peserta akan berhenti di beberapa checkpoint termasuk di Selangor Fruit Valley, peninggalan kapal korek Tanjung Tualang Tin Dredge No. 5 (TT5), Kellie’s Castle di Batu Gajah dan Bagas Zakariah di Gopeng dengan pengisian aktiviti seperti menyaksikan demonstrasi penyediaan cempedak ice blended oleh Dato’ Chef Ismail Ahmad, Duta Pelancongan, Seni dan Budaya bagi pasaran gastronomi.

Selain itu, para peserta juga akan merasai pengalaman bermalam secara berkhemah di Riverside Camp Gopeng, menikmati makan malam barbeku sambil menyaksikan persembahan budak api dan kumpulan muzik tempatan serta disusuli oleh acara kemuncak iaitu aktiviti whitewater rafting di Sungai Kampar.

Misi kembara ini bakal berakhir di Pusat Penerangan Pelancongan (MaTiC) Kuala Lumpur esok dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang berlangsung di Majlis Apresiasi Media yang akan diadakan di Magica Hall, Quill City Mall.

Dato’ Zainuddin berkata, penganjuran TOMER 2022 bukan sahaja bertujuan menjalinkan hubungan erat bersama media tempatan dan antarabangsa melibatkan media arus perdana dan media baharu, malah mempromosikan produk-produk pelancongan di sekitar Putrajaya, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.

“Tourism Malaysia telah menjalankan pelbagai aktiviti promosi dan pemasaran untuk meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada peningkatan ekonomi negara selari dengan fokus menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah destinasi pelancongan pilihan di rantau ini.

“Menerusi penganjuran TOMER 2022, publisiti untuk produk-produk pelancongan domestik juga dapat ditingkatkan merangkumi segmen gastronomi dan alam semula jadi selain memperkukuh kerjasama awam-swasta,” katanya.

TAMAT


Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.


Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Khairul Izwan Mohd Esa
Pegawai Pelancongan Kanan
Bahagian Komunikasi Korporat
khairulizwan@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8777

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use