Nov 14, 2022

LAWATAN EKSPRESI MEDIA INFLUENCER CUTI - CUTI MALAYSIA TEROKA KEUNIKAN SARAWAK


KUCHING, 14 November 2022 – Seramai 14 wakil media terdiri daripada media arus perdana dan media baharu menyertai Program Lawatan Ekspresi Media Influencer Cuti-Cuti Malaysia - Sarawak anjuran Tourism Malaysia selama lima hari dari 9 hingga 13 November 2022.

Program bertujuan meningkatkan promosi pelancongan domestik secara dalam dan luar talian sekali gus mengoptimumkan komunikasi strategik menerusi penglibatan media. Edisi kali ini membawa para peserta meneroka produk-produk berasaskan pengalaman pelancongan (experiential tourism) di sekitar Kuching, Bau dan Santubong dengan memfokuskan kepada segmen kembara, alam semula jadi, gastronomi, budaya dan warisan masyarakat Sarawak.

Para peserta memulakan eksplorasi ekopelancongan di daerah Bau dengan meneroka keunikan Sarawak Delta Geopark melibatkan geotapak Gua Pari-Pari dan Tasik Biru yang terbentuk hasil daripada perlombongan emas seawal abad ke-19. Turut diteroka ialah tarikan pelancongan terbaharu, Paku Rock Maze Garden, sebuah hutan batu semula jadi yang kaya dengan pelbagai formasi batuan unik.

Sarawak Delta Geopark merupakan geopark pertama di Sarawak yang diwartakan sebagai Tapak Geopark Kebangsaan keenam pada Jun 2022. Berkeluasan 3,112 kilometer persegi melibatkan daerah Kuching, Bau dan Lundu, ia merangkumi beberapa geotapak, tapak budaya dan biotapak seperti Kuching Wetlands National Park yang menjadi habitat kepada paya bakau, monyet Proboscis, buaya dan ikan lumba-lumba Irrawaddy.

Kuching Wetlands National Park juga merupakan antara tujuh tapak di Malaysia yang didaftarkan sebagai Tapak Ramsar dengan perlindungan di bawah undang-undang perhutanan, taman negeri dan tanah, sama ada sebagai hutan simpanan kekal, taman negeri atau kawasan perlindungan tanah lembap.

Di Santubong, para peserta dibawa melawat Kampung Budaya Sarawak yang merupakan salah satu tapak budaya di dalam Sarawak Delta Geopark. Terletak di kaki Gunung Santubong, para peserta berpeluang menyelami budaya serta gaya hidup kelompok etnik utama di Sarawak termasuk replika rumah masyarakat Iban, Melayu, Cina, Bidayuh, Orang Ulu, Penan dan Melanau selain menyaksikan persembahan kebudayaan.

Turut dilawati ialah Permai Rainforest Resort yang menawarkan pengalaman berada di hutan hujan Borneo dengan pelbagai tawaran aktiviti pantai menghadap Laut China Selatan serta kegiatan rekreasi dan penginapan rumah atas pokok (tree house).

Selain menikmati hidangan makanan laut segar di Kampung Buntal, para peserta juga berpeluang bermalam di resort mesra alam di The Culvert Hotel & Resort serta menjayakan program larian santai ‘Santubong Fun Run Batik Edition’ di Kampung Santubong yang menjadi kemuncak kepada penganjuran Pesta Santubong.

Di Kuching, para peserta dibawa melawat Borneo Cultures Museum yang merupakan muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara selain merasai sajian autentik seperti laksa Sarawak dan mi kolok serta mempelajari cara penyediaan kek lapis Sarawak sejajar dengan penyenaraian Kuching dalam Rangkaian Bandar Raya Kreatif UNESCO di bawah kategori gastronomi.

Dato’ Hj. Zainuddin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, program ini diharap dapat mengeratkan jalinan kerjasama bersama pihak media dalam mengetengahkan promosi produk-produk pelancongan terkini dengan memfokuskan kepada generasi Millennials menerusi kombinasi media baharu.

“Melalui lawatan ini, promosi produk-produk pelancongan ini bukan sahaja boleh disampaikan kepada umum dari sudut pandang berbeza, malahan impak dan capaian liputannya disasar dapat meningkatkan permintaan orang ramai untuk melancong ke destinasi pelancongan yang dilawati,” katanya.

TAMAT


Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.


Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Marhafizman Mohamad Daud
Pegawai Pelancongan Kanan
Bahagian Komunikasi Korporat
marhafizman@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8785

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use