Nov 23, 2022

TOURISM MALAYSIA HARGAI SUMBANGAN MEDIA JAYAKAN PROMOSI, BANTU PEMULIHAN INDUSTRI PELANCONGAN

KUALA LUMPUR, 23 November 2022 – Tourism Malaysia hari ini menganjurkan Majlis Apresiasi Media 2022 dalam usaha meraikan pengamal media yang telah banyak menyokong serta membantu Tourism Malaysia bagi menjayakan aktiviti-aktiviti pelancongan khususnya sepanjang tempoh dua tahun berdepan dengan pandemik COVID-19.

Bertemakan gold & black, majlis yang diadakan di Magica Victory Hall, Quill City Mall itu juga bertujuan menghargai peranan media dalam meningkatkan promosi dan pemasaran Tourism Malaysia sepanjang 50 tahun kewujudannya menerusi kempen Malaysia Truly Asia bagi pasaran antarabangsa dan Cuti-Cuti Malaysia untuk pasaran domestik.

Majlis dihadiri oleh YBhg. Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Dato’ Haji Zainuddin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia. para peserta disempurnakan oleh Datuk Mohd Zamri Mat Zain, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Marina Putrajaya dan turut dihadiri oleh Dato’ Hj. Zainuddin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia.

Dato’ Zainuddin berkata, sejak dilancarkan pada tahun 1999, kempen Malaysia Truly Asia misalnya telah memenangi lebih 25 penganugerahan di peringkat antarabangsa sekali gus berjaya melonjakkan ketibaan pelancong asing ke Malaysia.

“Setakat September lalu, Malaysia telah merekodkan ketibaan seramai lebih 5.5 juta pelancong. Kita optimis untuk mencapai sasaran 9.2 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM26.8 bilion menjelang hujung tahun ini.

“Malahan, mengikut Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO), pelancongan antarabangsa terus menunjukkan tanda-tanda pemulihan industri yang kukuh apabila kembali merekodkan ketibaan pelancong mencecah paras 57% sewaktu prapandemik untuk tujuh bulan pertama tahun ini,” kata Dato’ Zainuddin.

Pada majlis tersebut, selain cabutan bertuah, para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan kabaret dan medley lagu-lagu kempen promosi Tourism Malaysia di bawah koordinasi Artis Tari Istana Budaya selain penampilan artis jemputan popular, Ernie Zakri dan Khai Bahar.

Turut diadakan ialah majlis penyampaian hadiah bagi pemenang-pemenang pertandingan Tourism Malaysia Media Explore Race (TOMER) 2022 melibatkan penyertaan 88 media tempatan dan antarabangsa yang berlangsung sejauh lebih 300 kilometer dari Putrajaya ke Gopeng, Perak semalam.

Kali terakhir Tourism Malaysia menganjurkan majlis penghargaan seumpama ini ialah pada penghujung tahun 2019 dengan menghimpunkan penggiat industri pelancongan negara dan pengamal media di The Glasshouse, Seputeh, Kuala Lumpur.

TAMAT


Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.


Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Nur Farhana Yahaya
Pegawai Pelancongan Kanan
Bahagian Komunikasi Korporat
nurfarhana@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8757

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use