Nov 25, 2022

TOURISM MALAYSIA ANJUR PROGRAM JOM CUTI-CUTI MALAYSIA ROADSHOW 2022 DI MELAKA

MELAKA, 25 November 2022 – Tourism Malaysia hari ini meneruskan penganjuran program Jom Cuti-Cuti Malaysia (JCCM) Roadshow 2022 di Melaka dalam usaha merancakkan lagi aktiviti pemasaran pelancongan dan promosi pakej-pakej percutian domestik di seluruh Malaysia.

Program berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, diadakan di AEON Mall Bandaraya Melaka yang menjadi lokasi terakhir penganjuran bagi lapan siri jerayawara tersebut untuk tahun ini.

JCCM Roadshow 2022 telah bermula di AEON Mall Kinta City dari 27-29 Mei 2022 diikuti oleh enam lagi lokasi iaitu di AEON Mall Nilai pada 3-5 Jun 2022, AEON Mall Bukit Tinggi, Klang (22-24 Julai 2022), Blue Atrium, Sunway Pyramid (26-28 Ogos 2022), AEON Mall Shah Alam (2-4 September 2022), AEON Mall Kota Bharu (23-25 September 2022) dan AEON Mall Tebrau City (7-9 Oktober 2022).

Di AEON Mall Bandaraya Melaka, seramai 30 penggiat industri terdiri daripada pengusaha produk pelancongan, agensi pelancongan, hotel dan taman tema mengambil bahagian dengan menawarkan pakej percutian dan penginapan serta tiket masuk pada harga istimewa.

Encik Iskandar Mirza Mohd. Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia berkata, program ini diharap dapat menarik minat penduduk di sekitar Melaka dan Johor untuk berkunjung ke kompleks beli-belah berkenaan bagi membeli pakej-pakej percutian yang ditawarkan.

“Hasil jualan kesemua pakej-pakej pelancongan yang berjaya diraih oleh penggiat industri terlibat dalam tujuh siri jerayawara sebelum ini adalah cukup memberangsangkan iaitu mencecah RM8.03 juta,” katanya.

Selain daripada jualan pakej pelancongan, orang ramai yang berkunjung ke JCCM Roadshow 2022 di Melaka turut dapat menyaksikan demonstrasi penyajian nasi ulam dan urap pucuk paku oleh Chef Dato’ Ismail Ahmad, Duta Pelancongan, Seni dan Budaya bagi pasaran gastronomi selain persembahan tarian kebudayaan, kuiz pelancongan dan cabutan bertuah.

TAMAT


Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.


Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Maizatul Liza Mukhtar
Penolong Pengarah
Bahagian Domestik & Acara
maizatulliza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8493

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use