Sep 7, 2012

TOURISM MALAYSIA LANCAR 'SPECIAL CYCLING PACKAGES @ RAUB' & 'INTERESTING CYCLING ROUTES IN PAHANG' DI MATTA FAIR KL 2012

KUALA LUMPUR, 7 SEPT 2012: Tourism Malaysia telah memperkenalkan produk terbaru iaitu 'Special Cycling Packages @ Raub' dan 'Interesting Cycling Routes in Pahang' sempena penyertaannya dalam pameran pelancongan MATTA Fair KL 2012 yang berlangsung dari 7-9 September di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC).

'Special Cycling Packages @ Raub'

Pakej istimewa tersebut dibangunkan oleh NKS Hotel & Travel Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Jerantut, Pahang dan menawarkan sebanyak enam buah pakej percutian berbasikal di sekitar Daerah Raub.

Laluan basikal bagi kesemua pakej yang ditawarkan adalah dalam kategori blue route iaitu untuk para penunggang basikal tegar dan intermediate dengan jarak antara 30 km – 60 km.

Pakej-pakej pelancongan berbasikal yang terdapat dalam brosur 'Special Cycling Packages @ Raub' tersebut adalah seperti berikut:-

• Day Trip Cycling Tour - Raub (Blue Route) - Pakej sehari berharga RM125.00 seorang (minimum 30 orang) yang menawarkan aktiviti berbasikal sambil "Jalan-Jalan Cari Makan" di kilang tauhu, kilang kacang tanah dan restoran kari kepala ikan di sekitar bandar Raub sebelum berbasikal sejauh 19km (sehala) melalui Dong - Bukit Pampang - Pamah Kulat - Ulu Dong - Pulau Chekas - Lata Jarum. 

• Day Trip Cycling Tour - Lembah Krau (Blue Route) - Pakej sehari berharga RM150.00 seorang (minimum 30 orang) yang menawarkan aktiviti berbasikal sambil "Jalan-Jalan Cari Makan" di kilang tauhu, kilang kacang tanah dan restoran kari kepala ikan di sekitar bandar Raub sebelum menuju ke Lembah Krau melalui Kampung Melayu Sempalit.

• Day Trip Cycling Tour - Lembah Klau/Sungai Ruan (Blue Route) - Pakej sehari berharga RM200.00 seorang (minimum 30 orang) termasuk makan tengah hari yang menawarkan aktiviti berbasikal ke Lembah Klau sejauh 28km (sehala) dari bandar Raub dan aktiviti kembara 4WD ke Air Terjun Berembun.

• 2D1N Cycling Tour - Raub (Blue Route) - Pakej 2 hari 1 malam  berharga RM350.00 seorang  (minimum 30 orang) termasuk penginapan di Homestay Sungai Pasu, sarapan pagi/makan tengah hari dan makan malam serta aktiviti berbasikal sambil "Jalan-Jalan Cari Makan" di kilang tauhu, kilang kacang tanah dan restoran kari kepala ikan di sekitar bandar Raub pada hari pertama. Aktiviti berbasikal di hari kedua bermula dari Homestay Sungai Pasu ke Dong - Bukit Pampang -Pamah Kulat - Ulu Dong - Pulau Chekas - Lata Jarum yang merangkumi perjalanan sejauh 19 km (sehala).

• 2D1N Cycling Tour - Raub/Tersang (Blue Route) - Pakej 2 hari 1 malam  berharga RM350.00 seorang  (minimum 30 orang) termasuk penginapan di Homestay Sungai Pasu, sarapan pagi/makan tengah hari dan makan malam serta aktiviti berbasikal sambil "Jalan-Jalan Cari Makan" di kilang tauhu, kilang kacang tanah dan restoran kari kepala ikan di sekitar bandar Raub pada hari pertama. Aktiviti berbasikal di hari kedua mengelilingi Felda Tersang 1, 2, &3 sejauh 15 km (dua hala).

• 3D2N Cycling Tour - Raub (Blue Route) - Pakej 3 hari 2 malam  berharga RM450.00 seorang  (minimum 30 orang) termasuk penginapan di Homestay Sungai Pasu, sarapan pagi/makan tengah hari dan makan malam serta aktiviti berbasikal sambil "Jalan-Jalan Cari Makan" di kilang tauhu, kilang kacang tanah dan restoran kari kepala ikan di sekitar bandar Raub pada hari pertama. Aktiviti berbasikal di hari kedua bermula dari Homestay Sungai Pasu ke Dong - Bukit Pampang -Pamah Kulat - Ulu Dong - Pulau Chekas - Lata Jarum yang merangkumi perjalanan sejauh 19 km (sehala). Hari ketiga merupakan kayuhan off road ke perkampungan orang asli yang menawarkan pelbagai pengalaman menarik.

Tawaran untuk 'Special Cycling Packages @ Raub ini akan berakhir pada 31 Disember 2012.

'Interesting Cycling Routes in Pahang'

Risalah 'Interesting Cycling Routes in Pahang ini diterbitkan oleh Tourism  Malaysia dengan kerjasama Pejabat Pelancongan Negeri Pahang sebagai panduan kepada para pelancong dalam dan luar negara yang berminat untuk menikmati percutian di Pahang dengan menunggang basikal.

Laluan-laluan yang terdapat di dalam risalah ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu:

• ‘The Green Route’: Laluan sejauh 15 km untuk pengayuh baru dan yang berkeluarga melalui jalan yang kurang pergerakan lalu lintas dan dalam perkarangan pekan/bandar. Contoh laluan: (Kuantan) Green Route, Teluk Cempedak - Taman Gelora - Tg.Api - Padang Lalang -Esplanade. (15 km untuk pergi & balik).

• ‘The Blue Route’: Laluan sejauh 30 km - 60 km untuk pengayuh intermediate dan tegar melalui jalan pedalaman yang mencabar. Contoh laluan: (Kuantan) Blue Route, Teluk Cempedak - Taman Gelora - Tg. Api - Padang Lalang - Tg. Lumpur - Pantai Sepat (30 km untuk pergi & balik).

• ‘The Orange Route’: Laluan sejauh 60 km untuk pengayuh tegar dan pengembara melalui jalan raya dan kawasan pedalaman. Contoh laluan: (Pekan) Orange Route, Pekan Riverfront - Kg.Mengkasar - Pulau Keladi Cultural Village - Salong - Tasik Cini (75 km sehala).

Kesemua laluan yang telah dikenal pasti ini boleh diterokai secara bersendirian ataupun dengan bantuan pemandu pelancong.

Menteri Pelancongan Malaysia, YB Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen telah melancarkan 'Special Cycling Packages @ Raub' dan 'Interesting Cycling Routes in Pahang'  ini di Astaka Tourism Malaysia, Hall 3, PWTC sejurus selepas merasmikan MATTA Fair KL 2012 di sini, hari ini.

Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen dalam ucapannya berkata bahawa pihak Kementerian Pelancongan telah menaik taraf pelbagai kemudahan pelancongan di sekitar daerah Raub dan turut melatih para pemandu teksi bandar sebagai Duta Teksi Pelancongan bagi memastikan bahawa Raub mampu menjadi hab pelancongan bagi negeri Pahang ini.

"Saya amat berpuas hati dengan penghasilan 'Special Cycling Packages @ Raub' ini dan berharap agar pakej ini akan dapat meningkatkan lagi aktiviti agropelancongan, ekopelancongan dan inap desa di daerah Raub," kata beliau lagi.

Beliau menambah bahawa  penghasilan pakej tersebut juga menampakkan kreativiti para pengusaha pelancongan tempatan untuk mempelbagaikan  produk-produk pelancongan di negara ini sekaligus menarik minat para pelancong domestik dan luar negara untuk melancong sambil berbasikal di pelbagai destinasi di Malaysia.

Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen turut berkata bahawa pakej-pakej pelancongan berbasikal perlu dibangunkan dan dipromosikan secara agresif kerana trend pelancongan berbasikal kini sedang berkembang dengan pesatnya di serata dunia.

"Bukan sahaja aktiviti ini mesra alam tetapi juga merupakan cara yang paling menarik untuk menerokai sesuatu destinasi. Pelancong mempunyai lebih banyak peluang untuk berinteraksi dengan penduduk tempatan dan lebih menghargai suasana kehidupan di luar bandar," sambung beliau lagi.

Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen juga beranggapan bahawa penerbitan risalah 'Interesting Cycling Routes in Pahang' merupakan satu langkah bijak yang mampu menarik minat orang ramai untuk mencipta kelainan dalam percutian mereka dengan menunggang basikal.

Penyertaan kali keenam Tourism Malaysia dalam pameran MATTA KL Fair September 2012 ini melibatkan sebanyak 120 gerai pameran dengan 110 peserta di bawah payung Tourism Malaysia.

Pada pameran pelancongan MATTA 2011, sebanyak 10,262 pakej Cuti-Cuti 1Malaysia telah dijual dan berjaya menjana pendapatan sebanyak RM2.25 juta.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Roziah Alias, Pegawai Pelancongan, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di 03-8891 8423 atau emel roziah@tourism.gov.my.

Disediakan oleh: Bahagian Komunikasi dan Publisiti, Tourism Malaysia
Tel: 03-8891 8000 Faks: 03-8891 8788
E-mel: sitirahmah@tourism.gov.my Laman web: www.tourismmalaysia.gov.my
Facebook: http://www.facebook.com/friendofmalaysia
Twitter: http://twitter.com/tourismmalaysia Blog: http://blog.tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use