Sep 9, 2012

KAYUHAN MERDEKA DI RAUB GAMIT PARA PEMINAT AKTIVITI BERBASIKAL

RAUB, 9 SEPT 2012: Program berbasikal bulanan Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) Sunday Bike Ride @ Raub 2012 pada hari ini telah diserikan dengan acara Kayuhan Merdeka dan pelbagai lagi aktiviti menarik sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Kali ke-55 pada 31 Ogos yang lalu.

Kayuhan Merdeka ini melibatkan aktiviti berbasikal sejauh 14 kilometer (laluan VIP) dan 44 kilometer (laluan pengayuh tegar) melalui kawasan-kawasan di sekitar daerah Raub yang akan dibangunkan sebagai laluan basikal (cycling route) dan ini termasuklah Bandar Raub, kawasan-kawasan Felda dan Bukit Fraser.

Menteri Pelancongan Malaysia, YB Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen turut berbasikal sejauh 14 kilometer bersama lebih kurang 1,500 orang para penunggang basikal lain bermula pada jam 7.30 pagi di sini, hari ini.

Acara berbasikal secara konvoi dan santai ini terbuka kepada semua pelajar sekolah, para belia, ahli-ahli persatuan/kelab berbasikal dari sekitar daerah Raub dan seluruh Malaysia.

Bagi kayuhan VIP, laluan basikal sejauh 14 kilometer bermula dari Taman Tasik Raub dan melalui Jalan Lipis – Kg. Melayu Sempalit – SMK Mahmud-Bandar Raub - Taman Sentosa - Jalan Pekeliling - Jalan Cheroh - Sg. Lui - Kampung Benggali - Sg. Lui - Taman Mutiara - Bukit Koman - Hospital Raub  sebelum kembali semula ke Taman Tasik Raub.

Laluan bagi pengayuh tegar pula merangkumi perjalanan sejauh 44 kilometer yang bermula dari Taman Tasik Raub menuju ke Sempalit -  Jalan Lipis  -  Pintu  Padang - Kampung Tok Macang - Ulu Gali - Kampung Jelu  -  Kampung Bukit Pampong - Kampung Tanjung Putus - Skampung Lecar - Pekan Dong -  Kampung Lepat - Kampung Durian Sebatang - Kampung Lepar - Kampung Gali Hilir - Kampung Gali - Kampung Gali Tengah - Kampung Jemapar - Jalan Lipis - Taman Amalina Lestari - Jalan Sempang Kajang - Taman Muhibah Bukit Koman sebelum kembali semula ke Taman Tasik Raub.

Pelbagai acara sampingan yang menarik seperti program 1Malaysia Bersih & Indah (1MC1MG), senam tari CC1M dan persembahan hiburan turut dianjurkan demi memeriahkan lagi program ini. Para peserta juga berpeluang untuk memenangi 100 hadiah cabutan bertuah seperti televisyen LCD dan 10 hadiah utama berupa basikal Mountain Bike dan Fixie. 

Program kali ini turut menyelitkan lawatan suai kenal untuk wakil-wakil media bagi mempromosikan tarikan-tarikan pelancongan di sekitar daerah Raub seperti Gua Kecil Kampung Tok Machang, Countryview Recreational Park dan aktiviti berakit di arus deras (white water rafting) Sungai Jeram Besu. 

Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen dalam ucapannya berkata program ini dilaksanakan dalam skala yang lebih besar bagi mencetus semangat 1Malaysia di kalangan warga tempatan bersempena sambutan Hari Kemerdekaan baru-baru ini.

"Saya berharap aktiviti Kayuhan Merdeka ini dapat mengeratkan lagi hubungan di kalangan para penduduk Raub dan juga merangsang semangat perpaduan antara para peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum," sambung beliau lagi.

Beliau menambah bahawa program berbasikal bulanan seperti ini juga telah dapat membantu mempromosikan tempat-tempat menarik di Raub dan daerah-daerah berdekatan.

Selaras dengan dasar kerajaan, program berbasikal  ini juga dapat memupuk semangat bersukan dan gaya hidup sihat di kalangan warga Malaysia dan menjadikan program berbasikal di hujung minggu (CC1M Sunday Bike Ride @ Raub) ini sebagai salah satu aktiviti riadah bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Tambahan lagi trend pelancongan berbasikal kini sedang berkembang dengan pesatnya di serata dunia.

Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan pelbagai pihak berkuasa tempatan, jabatan-jabatan kerajaan, kelab Berbasikal Reborn Raub dan badan bukan kerajaan daerah Raub untuk melaksanakan program istimewa "Kayuhan Merdeka" ini.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Hazrina Azman, Penolong Pengarah, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di 03-8891 8437 atau emel hazrina@tourism.gov.my.

___________________________________________________________________________________________________

Disediakan oleh: Bahagian Komunikasi dan Publisiti, Tourism Malaysia
Tel: 03-8891 8000 Faks: 03-8891 8788
E-mel: sitirahmah@tourism.gov.my Laman web: www.tourismmalaysia.gov.my
Facebook: http://www.facebook.com/friendofmalaysia
Twitter: http://twitter.com/tourismmalaysia Blog: http://blog.tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use