Mar 17, 2021

TOURISM MALAYSIA DAN MAJALAH BACKPACKERZ ANJUR “PERTANDINGAN CUTI-CUTI MALAYSIA TRAVEL WISHLIST 2021”

PUTRAJYA, 17 Mac 2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Tourism Malaysia buat julung-julung kalinya menjalinkan kerjasama dengan majalah digital pelancongan, Backpackerz untuk mempergiat promosi digitalisasi pelancongan melalui Pertandingan “Cuti-Cuti Malaysia Travel Wishlist 2021” dalam usaha menyemarakkan kembali pelancongan domestik.

Program di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan itu telah dilancarkan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia secara langsung di laman sosial rasmi Facebook Backpackerz. Pertandingan ini diadakan selama 17 hari bermula hari ini, 17 Mac 2021 sehingga 2 April 2021 dan layak disertai oleh semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Pemenang tempat pertama akan menerima hadiah geran melancong berupa wang tunai sebanyak RM4,000 dan telefon bimbit berjenama Apple iPhone 12. Naib johan akan membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta konsol permainan video jenama Sony Playstation 5, manakala pemenang tempat ketiga akan menerima wang tunai RM1,500 berserta fon telinga jenama Apple Airpods. Lima penyertaan terbaik pertandingan pula akan menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai RM300.

Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tourism Malaysia melalui kempen Cuti-Cuti Malaysia bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menzahirkan destinasi percutian impian masing-masing melalui paparan foto destinasi pelancongan menarik serta penulisan kreatif cerita pendek di platform media sosial.

Tiga pemenang utama pertandingan ini akan berpeluang menggunakan hadiah geran melancong untuk bercuti di dalam negara serta menulis pengalaman percutian mereka di Facebook Tourism Malaysia dan Backpackerz dalam masa tiga bulan selepas aktiviti rentas negeri kembali dibenarkan kelak.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Hajah Nancy dalam ucapannya mengajak rakyat Malaysia sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan termasuk pengamalan norma baharu.

Untuk maklumat lanjut tentang “Pertandingan Cuti-Cuti Malaysia Travel Wishlist 2021”, orang ramai boleh layari https://verst.com.my/backpackerz/ atau https://www.facebook.com/backpackerzmag.

TAMAT

Mengenai Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia mencatatkan ketibaan seramai 26.1 juta pelancong asing yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Muadz Samat
Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Mohd Taqiyudin Yusof
Pengurus Pertandingan Majalah Backpackerz (Adam Asia Resources)
taqiyudin.adamasia2u@gmail.com
Tel: +603 33593820

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use