Mar 23, 2021

NIKMATI PENJIMATAN BERGANDA DENGAN KEMPEN SHOP AND BE REWARDED

MELAKA, 23 Mac 2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya Tourism Malaysia menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK Malaysia) dalam Kempen Shop and Be Rewarded. Kempen ini selaras dengan Pelan Pemulihan Pelancongan yang diumumkan MOTAC menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE), bertujuan untuk menggalakkan perbelanjaan domestik.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang hadir melancarkan kempen tersebut di Pusat Beli Belah, Mahkota Parade, Melaka menyatakan kempen ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam membantu merancakkan semula industri beli-belah Malaysia yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19.

Kempen ini akan berlangsung selama tiga hari bermula pada 26 sehingga 28 Mac 2021, di lebih 30 pusat beli-belah yang mengambil bahagian. Kempen promosi ini menawarkan baucar e-tunai, di mana setiap pembelian minimum RM50.00 akan melayakkan mereka untuk menerima diskaun sebanyak RM10.00 di pusat beli-belah dan peruncit yang mengambil bahagian dalam program ini.

Sebagai sebuah persatuan yang mewakili pusat-pusat beli-belah di seluruh Malaysia, PPK Malaysia sedang giat berusaha untuk meningkatkan prestasi industri beli-belah yang terkesan berikutan impak pandemik Covid-19. Usaha sama dengan Tourism Malaysia ini diharapkan dapat mempercepatkan pemulihan industri menerusi aktiviti beli-belah.

Dianggarkan sehingga RM450,000 baucar e-tunai disediakan oleh Tourism Malaysia untuk ditebus sepanjang kempen ini. Dengan tawaran tambahan oleh pusat-pusat beli-belah di sekitar Wilayah Tengah, Utara, dan Selatan yang mengambil bahagian, sekurang-kurangnya RM900,000 akan diberikan kepada rakyat Malaysia.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy menyeru orang ramai mengambil peluang ini untuk membeli-belah, namun terus mematuhi SOP sedia ada yang ditetapkan oleh Kerajaan serta menjalankan aktiviti dengan selamat dengan penuh tanggungjawab, selaras dengan amalan norma baharu.

Untuk maklumat lanjut tentang senarai pusat beli-belah yang mengambil bahagian serta terma dan syarat kempen, orang ramai boleh layari http://ppkm.org.my/ atau https://www.malaysia.travel/.

TAMAT

Tentang Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia menerima 26.1 juta pelancong dan mencatatkan RM86.14 bilion perbelanjaan pelancong, sekaligus meletakkan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan terunggul di dunia.

Tentang PPK Malaysia

Ditubuhkan pada tahun 1984, Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK Malaysia) mewakili pemilik, pemaju dan pengurus pusat beli-belah di seluruh Malaysia dan memainkan peranan utama dalam menyumbang kepada pembangunan profesional industri menerusi kursus latihan. PPK Malaysia juga merupakan suara bagi industri beli-belah, di samping bekerjasama dengan sektor awam dalam mengetengahkan isu-isu yang dihadapi oleh industri beli-belah.

Untuk pertanyaan, sila hubungi:

Mohd Badrul Amin Mohd Bisharuddin
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Pakej
mohdbadrulamin@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8593

PPK Malaysia
Evelyn Lo
Pengarah Eksekutif
evelyn@ppkm.org.my
Tel: +603 7727 6202

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use