Sep 15, 2022

TEROKAI PULAU SATANG BERPOTENSI SEBAGAI TEMPAT TARIKAN PELANCONG

KUCHING, 15 SEPTEMBER 2022 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui agensinya, Tourism Malaysia hari ini mengadakan lawatan bersama media ke Pulau Satang dan Kuching Wetland National Park yang berpotensi untuk diketengahkan dan dipakejkan, di samping merancakkan kembali industri pelancongan di Malaysia.

Lawatan ini adalah bertujuan meneroka aktiviti seperti island-hopping dan river-cruising di sekitar Pulau Satang yang juga di dalam lingkungan Taman Negara Talang Satang dan di bawah seliaan Sarawak Forestry Corporation (SFC). Tujuan utama penubuhannya adalah untuk memulihara populasi penyu di Sarawak.

Taman Negara ini terdiri daripada pantai dan laut yang mengelilingi empat pulau iaitu Pulau Talang-Talang Besar dan Pulau Talang-Talang Kecil yang terletak berdekatan dengan Sematan, serta Pulau Satang Besar dan Pulau Satang Kecil yang terletak tidak jauh dari Santubong, berhampiran dengan Kuching. Taman Negara itu juga termasuk Pulau Tukong Ara-Banun Sanktuari Hidupan Liar, dua pulau kecil yang penting bagi tapak sarang burung koloni bridled terns dan black-naped terns.

Sarawak Forestry Corporation juga menawarkan Program Sukarelawan Penyu Laut Sarawak (Sarawak Sea Turtle Volunteer Programme - SSTVP) yang merupakan salah satu initiatif eko-pelancongan. Program pemuliharaan ini membolehkan sukarelawan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam usaha-usaha konservasi penyu Sarawak di Stesen Pemuliharaan Penyu di Pulau Talang-Talang Besar.

Kuching Wetland National Park pula meliputi kawasan di muara sungai Sibu Laut dan Salak. Taman Negara ini terdiri daripada ekosistem pantai, marin dan air tawar. Sistem paya bakau air masin dan delta yang dibentuk oleh sungai-sungai yang saling bersambung antara Sungai Sibu-Laut, Batang Salak dan Sungai Santubong yang membentuk sempadan taman itu.

Haiwan yang dapat dilihat semasa aktiviti river-cruising di Kuching Wetland National Park ini adalah seperti buaya, proboscis monkey dan ikan lumba-lumba Irrawady. Haiwan tersebut juga hanya boleh dilihat bergantung kepada keadaan pasang surut air dan juga cuaca.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, aktiviti island-hopping yang berpotensi untuk dimasukkan ke dalam pakej adalah seperti lawatan ke Pulau Satang Besar, Pulau Satang Kecil, Telaga Air, Pulau Sibu, Kuching Wetland National Park dan juga aktiviti snorkeling.

Telaga Air yang terletak lebih kurang 28km dari pusat bandaraya Kuching ini juga merupakan salah satu tarikan pelancong yang sangat terkenal dengan makanan laut yang sedap, segar dan dijual pada harga yang berpatutan.

“Sarawak lebih terkenal dengan produk pelancongan yang berasaskan alam semula jadi dan pengembaraan. Usaha mengetengah dan memperkenalkan aktiviti island-hopping dan river-cruising ini diharap dapat mempromosikan kepelbagaian produk dan pakej yang boleh di tawarkan oleh negeri ini,” katanya.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Noriah Jaafar
Pengarah
Pejabat Penyeliaan TIC Sarawak
noriah@tourism.gov.my
Tel: +6082 246 775

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use