TOURISM MALAYSIA MENYAMBUT ULANG TAHUN KE-50 BERSAMA PROGRAM KERETAPI SARONG BERSEMPENA SAMBUTAN HARI MALAYSIA

Seramai 50 pengamal media yang terdiri daripada media cetak dan elektronik serta pengamal media baharu telah menyertai majlis yang diadakan di KLCG Confectionery & Bakery yang juga simbolik bagi sambutan jubli emas ulang tahun ke-50 Tourism Malaysia (1972-2022).
Majlis ini bertujuan bagi meraikan serta menghargai jasa dan sokongan pengamal media yang selama ini telah memberikan kerjasama dalam membuat liputan program-program anjuran Tourism Malaysia sejak awal penubuhannya.
Majlis ini juga berlangsung sempena program Keretapi Sarong 2022 yang kembali menyemarakkan sambutan Hari Malaysia pada 16 September dengan tema 'Retro Kuala Lumpur', selepas dua tahun tergendala susulan penularan Covid -19. Keretapi Sarong kali ini juga turut dimeriahkan dengan persembahan Malaysian Fusion, tarian joget lambak serta penyampaian hadiah bagi pemakaian terbaik.
Program Keretapi Sarong yang mula diperkenalkan pada tahun 2012 adalah merupakan satu program flash mob di mana peserta-peserta yang terdiri daripada kalangan orang awam beramai-ramai menaiki pengangkutan awam menerusi laluan-laluan stesen dengan berpakaian sarong Malaysia.
Dianggarkan seramai 5000 orang peserta yang hadir terdiri daripada penggiat industri pelancongan, media, blogger, sukarelawan, para pelajar sekolah dan juga pelancong dalam dan luar negara memakai kain sarong bersama tema 'Retro' dengan diketuai kumpulan sukarelawan ke lokasi akhir yang dirahsiakan.
Program Keretapi Sarong pada kali ini dimulakan serentak dari tujuh (7) buah stesen yang terlibat termasuk stesen Transit Aliran Ringan (LRT), stesen Transit Aliran Massa (MRT), stesen KLIA Transit dan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Wakil pengamal media juga kemudiannya berpeluang menaiki bas 'KL Hop-On Hop-Off' di sekitar ibu negara dan tiba di Dataran Merdeka sebelum diteruskan dengan lawatan ke Kuala Lumpur City Gallery (KLCG) Confectionery & Bakery. Promosi video Tourism Malaysia juga turut ditayangkan bertajuk Amazing yang telah memenangi Anugerah Destinasi Asia 2020 di Bangkok.
Program yang dianjurkan oleh LOCCO, sebuah badan komuniti sosial ini dapat membantu mempromosikan sarong Malaysia sebagai salah satu elemen kebudayaan unik Malaysia melalui gimik dan flash mob atau persembahan kilat berkumpulan tersebut. Pemakaian kain sarung sama ada batik adalah merupakan simbol kebudayaan dan warisan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
TAMAT
Tourism Malaysia
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Mohd Faharuddin Hatmin
Timbalan Pengarah Kanan
Bahagian Komunikasi Korporat
faharuddin@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8775
Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755