KERJASAMA TOURISM MALAYSIA – EMGS TINGKATKAN PROMOSI PELANCONGAN PENDIDIKAN
PUTRAJAYA, 14 Oktober 2022 – Tourism Malaysia hari ini memeterai memorandum kerjasama (MOC) dengan Education Malaysia Global Services (EMGS) untuk mengukuhkan lagi tarikan Malaysia sebagai destinasi pengajian pilihan pelancongan dalam kalangan pelajar antarabangsa serta pelancong dari seluruh dunia.
Kerjasama ini bertujuan memanfaatkan perkongsian kepakaran antara kedua-dua pihak dalam aspek komunikasi, penjenamaan, pengiklanan, acara, kempen, bahan pemasaraan dan promosi serta media dan perhubungan awam. Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama mempromosikan penjenamaan “Study in Malaysia” seiring dengan tagline “Malaysia Truly Asia” yang digunakan di peringkat global.
Jalinan kerjasama ini juga akan membentuk sinergi dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan hab pendidikan pilihan bertaraf dunia terutamanya melalui program mobiliti dan kursus jangka pendek melibatkan pelajar antarabangsa.
Memorandum kerjasama itu ditandatangani oleh Dato’ Haji Zainuddin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia dan Encik Mohd Radzlan Jalaludin, Ketua Pegawai Eksekutif EMGS. Majlis menandatangani memorandum tersebut turut disaksikan oleh YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi.
Dato’ Haji Zainuddin berkata, kerjasama antara Tourism Malaysia dan EMGS berupaya membantu merancakkan industri pelancongan negara bagi mencapai sasaran ketibaan pelancong sebanyak 9.2 juta pelancong dengan nilai pendapatan pelancongan sebanyak RM 26.8 bilion menjelang hujung tahun ini.
“Usaha sama ini juga dapat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihanmenerusi segmen minat khas edutourism dan juga percutian oleh pelajar antarabangsa bersama keluarga mereka yang sekali gus dapat menjana pendapatan ekonomi kepada negara,” katanya.
Sementara itu, fokus utama EMGS, pada tahun ini adalah untuk mencapai sasaran 50,000 permohonan pelajar antarabangsa selaras dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan kemasukan seramai 250,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2025.
Encik Mohd Radzlan berkata, “EMGS berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama strategik ini bersama Tourism Malaysia. Kami percaya sektor pelancongan dan pendidikan saling bersangkutan antara satu sama lain.”
Setakat September 2022, kita telah menerima lebih 38,000 permohonan daripada pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di Malaysia. Kita dapati terdapat trend peningkatan melibatkan permohonan program mobiliti dalam kalangan pelajar antarabangsa, jadi itu menjadi salah satu fokus keutamaan EMGS.”
Lima negara utama yang mencatatkan permohonan tertinggi untuk program mobiliti setakat September 2022 ialah Indonesia, Perancis, Jepun, Jerman dan United Kingdom.
TAMAT
Tourism Malaysia
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Kamilia Hani Abdul Halim
Timbalan Pengarah
Bahagian Pembangunan Pakej
kamilia@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8518
Nur Fadhilah Binti Mohammed Noor
Education Malaysia Global Services
nurfadhilah@educationmalaysia.gov.my
Tel
: +603-2180 0800 / 013-632 2780
Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755