Oct 19, 2022

TOURISM MALAYSIA PROMOSIKAN PAKEJ PERCUTIAN MENGHADIRI MAJLIS TILAWAH DAN MENGHAFAZ AL-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA KE-62

KUALA LUMPUR, 19 Oktober 2022 – Tourism Malaysia sekali lagi bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam mempromosikan negara ini sebagai destinasi pelancongan pilihan melalui penjualan pakej percutian untuk menghadiri Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-62 Tahun 1444 hijrah, bersamaan 2022 Masehi.

Pakej percutian 3H2M dan juga 2H1M yang dipromosikan memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) secara langsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula dari 19 hingga 24 Oktober 2022.

Selain diberikan tempat duduk khas sepanjang menghadiri Majlis Tilawah Al-Quran, pakej-pakej tersebut turut menawarkan lawatan ke tempat-tempat menarik di sekitar Kuala lumpur dan Putrajaya termasuk lawatan ke Kompleks Nasyrul Quran yang juga merupakan kompleks percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia. Selain itu, mereka juga dibawa ke tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur termasuk membeli-belah.

Sejumlah 1,500 pakej telah terjual hasil kerjasama tujuh ejen pelancongan Singapura dengan Pejabat Tourism Malaysia Singapura yang menyasarkan permintaan dari negara ASEAN.

Antara agensi pelancongan yang mempromosikan pakej tersebut ialah Nurhikmah Travel & Tours Pte. Ltd., Hamidah Travel & Tours Pte. Ltd., Zuma Travel & Services Pte. Ltd., dan juga Smiling Travel Singapore Pte. Ltd.

Dato’ Hj. Zainuddin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, jalinan kerjasama antara JAKIM dan Tourism Malaysia adalah penting dalam membantu merancakkan semula pemulihan sektor pelancongan di Malaysia.

“Promosi pakej ini juga diharap memenuhi permintaan pelancong antarabangsa untuk hadir menyaksikan majlis ini secara langsung sekali gus menarik lebih ramai ketibaan pelancong khususnya dari negara-negara ASEAN,” kata Dato’ Hj. Zainuddin.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.


Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Suhaimi Abu Hassan Shari

Penolong Pengarah Kanan

Bahagian Promosi Antarabangsa Asia Tenggara

suhaimiabuhassan@tourism.gov.my

Tel: +603 8891 8245


Muadz Samat

Penolong Pengarah

Bahagian Komunikasi Korporat

muadz@tourism.gov.my

Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use