Jul 14, 2025

KARNIVAL CANDAT SOTONG x PROGRAM MADANI RAKYAT 2025 KUALA TERENGGANU FOKUS PROMOSI WARISAN BUDAYA MARITIM DAN PEMERKASAAN RAKYAT

KUALA TERENGGANU, 11 Julai 2025 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia buat julung-julung kalinya menganjurkan Karnival Candat Sotong bagi mempromosikan aktiviti tradisi mencandat sotong yang cukup sinonim dalam kalangan komuniti maritim di Pantai Timur sekali gus merancakkan lagi Musim Candat Sotong 2025 yang telah dilancarkan di Terengganu, baru-baru ini.

Karnival tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian utama Program Madani Rakyat (PMR) 2025 yang dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Julai di Payang Walk di sini membabitkan penglibatan agensi seperti Jabatan Warisan Negara, Kraftangan Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Tourism Terengganu, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur, RTM Terengganu dan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).

PMR ialah inisiatif kerajaan Persekutuan bagi mendekatkan penyaluran perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat secara inklusif serta memfokuskan kepada potensi keusahawanan dan koperasi dalam usaha menoktahkan kemiskinan. Majlis penutupan PMR Terengganu bakal disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pada 12 Julai di sini. Selain pembukaan lebih 50 reruai jualan produk usahawan tempatan, makanan dan minuman, demonstrasi masakan dan kraftangan serta persembahan kebudayaan dan buskers, para pengunjung turut berpeluang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma, berurusan di kaunter perkhidmatan kerajaan serta menyaksikan pameran daripada agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bersempena penganjuran Karnival Candat Sotong, Tourism Malaysia dengan kerjasama Gaya Travel turut menyelaras penyertaan lebih 50 peserta dalam penganjuran lawatan suai kenal melibatkan wakil media dan pempengaruh media sosial serta agensi pelancongan tempatan dari seluruh Malaysia termasuk dari Sabah dan Sarawak bagi merasai sendiri pengalaman mencandat sotong di sini. Penyertaan ini turut menarik minat lima wakil media antarabangsa iaitu dari Jepun, Australia dan Amerika Syarikat.

Majlis perasmian Karnival Candat Sotong pada hari ini dirasmikan oleh Cik Yong Ee Chin, Setiausaha Bahagian di Bahagian Dasar Pelancongan dan Hubungan Antarabangsa MOTAC, mewakili YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Ketua Setiausaha MOTAC. Turut hadir YBhg. Dato’ Haji Rosli Latif, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Terengganu; YBhg. Dato’ Jusman Ibrahim, Datuk Bandar Kuala Terengganu dan Datin Rafidah Idris, Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara, Tourism Malaysia.

Datin Rafidah berkata, hasil daripada bengkel dan lawatan suai kenal tersebut bakal diterjemahkan kepada pembangunan pakej-pakej mencandat sotong sebagai salah satu produk pelancongan minat khas yang unik dan berpotensi untuk dipromosikan kepada pelawat domestik dan antarabangsa. Langkah tersebut seterusnya berupaya menyumbang kepada kelestarian warisan budaya maritim serta perkembangan sosioekonomi nelayan, pengusaha bot, inap desa dan perusahaan makanan laut.

“Antara maklum balas positif yang kita terima daripada peserta antarabangsa dalam program ini ialah aktiviti mencandat sotong dilihat sangat berpotensi untuk dipromosikan kepada pasaran Jepun dan Korea. Mereka mencadangkan bahawa hasil tangkapan sotong segar di atas bot, boleh dimakan mentah dengan dijadikan hidangan sashimi yang disajikan bersama wasabi dan sos soya, justeru mampu memperkaya pengalaman mencandat sotong di Terengganu.”

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, X, YouTube, dan TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Razaidi Abd. Rahim
Timbalan Pengarah Kanan
Bahagian Domestik & Acara
razaidi@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8463

Norshariza Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
norshariza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8744

Related Photos

© 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All rights reserved.
Privacy Policy | Sitemap | Last updated: 15 July 2025