“MANSAU-ANSAU NORTH BORNEO TRAIL” TEROKAI HIDDEN GEM PELANCONGAN DI UTARA SABAH
KOTA KINABALU, 9 Julai 2025 – Tourism Malaysia Sabah telah menganjurkan program lawatan bertemakan “Mansau-Ansau North Borneo Trail: Culture, Adventure & Nature” yang berlangsung dari 4 hingga 8 Julai 2025, bertujuan mempromosikan kawasan utara Sabah sebagai ‘hidden gem’ pelancongan yang kaya dengan khazanah alam semula jadi serta warisan budaya yang unik.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada sokongan terhadap Kempen Cuti-Cuti Malaysia dan Visit Malaysia 2026 (VM2026), dengan memberi tumpuan kepada daerah-daerah seperti Tamparuli, Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, dan Kudat. Lokasi-lokasi ini menawarkan pengalaman pelancongan berteraskan alam semula jadi, kebudayaan, dan pengembaraan yang masih belum diterokai sepenuhnya oleh pelancong arus perdana.
Berasal daripada Bahasa Kadazan Dusun, “Mansau Ansau” bermaksud “jalan-jalan”. Program ini menghimpunkan seramai sembilan peserta terdiri daripada wakil media tempatan, pempengaruh media sosial serta rakan industri pelancongan dari Kuala Lumpur, Sarawak, dan Brunei.
Antara sorotan utama program ini termasuk kunjungan ke destinasi ikonik seperti Tip of Borneo di Kudat dan Floating Coral Bar di Pitas. Peserta turut diberi peluang merasai sentuhan asli budaya setempat di Walai Tobilung melalui aktiviti seperti upacara bobolian, permainan alat muzik tradisional, persembahan tarian kebudayaan, serta demonstrasi penyediaan juadah warisan yang diwarisi turun-temurun.
Lawatan diteruskan dengan kunjungan ke pusat-pusat kraftangan komuniti seperti Sulaman Pis di Kudat, kraf kulit jagung (Corn Husk Craft) di Kota Marudu, serta Sulaman Serdang dan pembuatan parang di Kota Belud yang menonjolkan daya kreativiti dan kemahiran masyarakat setempat.
Pengalaman mendaki di Aura Montoria, Kota Belud menjadi salah satu tarikan utama dalam program ini, yang menawarkan laluan pendakian mencabar dan dianggap sebagai antara lokasi pendakian terbaik di Sabah.
Di Kampung Sangkir, Kota Belud, peserta diberi peluang untuk menikmati suasana kampung melalui aktiviti berbasikal yang dikelilingi panorama sawah padi yang menghijau. Manakala di Tembara River Cruise, Tuaran pula melengkapkan eksplorasi kali ini dengan pelayaran menyusuri sungai bagi menyaksikan matahari terbenam dan kelip-kelip yang memukau, salah satu tarikan istimewa pada waktu malam.
Program ini turut merangkumi inisiatif pembangunan pelancongan luar bandar yang menitikberatkan penglibatan komuniti setempat serta pemeliharaan alam semula jadi, yang digerakkan oleh penggiat industri tempatan. Menurut Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Cik Haryanty Abu Bakar, program ini selari dengan usaha Tourism Malaysia dalam memperluas promosi pelancongan negeri Sabah melalui kepelbagaian produk, khususnya di kawasan yang kurang diterokai.
“Program ini juga merupakan salah satu strategi mendekati khalayak digital, di mana pengamal media berperanan penting dalam mengetengahkan produk pelancongan menerusi pendekatan penceritaan atau travel storytelling yang mampu memberi impak besar dalam ekosistem promosi pelancongan era digital masa kini,” tambah beliau.
Tourism Malaysia amat menghargai sokongan dan kerjasama semua pihak dalam memperkenalkan destinasi pelancongan unik di Sabah, khususnya di kawasan luar bandar, dan akan terus memperkukuh jalinan strategik ini dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Visit Malaysia 2026 (VM2026).
TAMAT
Tourism Malaysia
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran kempen Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, X, YouTube, dan TikTok.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Khairul Amir Anuar
Deputy Director
Tourism Malaysia Sabah
khairulamir@tourism.gov.my
Tel: +6088-211732
Norshariza Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
norshariza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8775