KEUNIKAN WARISAN KULINARI TEMPATAN MENERUSI ‘SPICE & SOUL OF MALAYSIA’
KUALA LUMPUR, 15 Julai 2025 – Tourism Malaysia hari ini melancarkan program “Spice & Soul of Malaysia”, sebuah inisiatif berteraskan gastronomi dan kebudayaan yang menampilkan keunikan masakan tradisional serta kepelbagaian budaya tempatan.
Program ini merupakan salah satu usaha strategik bagi memperkukuh promosi kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) dengan mengetengahkan pengalaman pelancongan yang berteraskan cita rasa dan warisan budaya Malaysia.
Spice & Soul of Malaysia turut memperkenalkan Midnight Supper iaitu budaya makan lewat malam yang telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat Malaysia. Pengalaman ini turut dapat dirasai di Saloma Kuala Lumpur yang akan melanjutkan waktu operasi sehingga jam 3.00 pagi dengan menawarkan kepelbagaian menu kegemaran rakyat Malaysia. Budaya ini mencerminkan nilai kebersamaan dalam masyarakat majmuk Malaysia merentas kaum, agama dan latar belakang yang gemar berkumpul, berbual mesra, dan menikmati hidangan lewat malam dalam suasana santai dan harmoni.
Selain itu, Midnight Supper turut boleh dinikmati di rangkaian restoran di bawah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) yang terdapat di seluruh negara. Usaha ini dilihat mampu menjadi daya tarikan tersendiri dalam memperkukuh naratif Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya dan gastronomi menjelang VM2026.
Tiga buah hotel di Kuala Lumpur turut sama menawarkan aktiviti menarik sempena pelancaran Spice & Soul of Malaysia dengan menampilkan dekorasi dan persembahan kebudayaan serta penyediaan makanan bertemakan etnik bagi memberi peluang
kepada pengunjung untuk merasai pengalaman dalam aktiviti kebudayaan sambil menjamu selera.
Hotel-hotel yang mengambil bahagian dan aktiviti yang ditawarkan adalah seperti:
- Hotel Royal Signature, Kuala Lumpur
Tarikh: 1 – 31 Julai 2025 (Setiap Sabtu)
Aktiviti: Sajian kulinari, persembahan kebudayaan dan dekorasi bertemakan etnik Minangkabau. - Hotel Saujana, Kuala Lumpur
Tarikh: 1 – 31 Julai 2025
Aktiviti:
· Nyonya Trio Platter @ GT Terrace (19–20 Julai),
· Peranakan Afternoon Tea @ The Club Lounge (setiap Sabtu),
· Meh Minum Petang, Belajair Joget with Suzanne Lee (27 September),
· Evening Peranakan Cocktail Hour @ The Club (1–31 Julai),
· Peranakan Add-on Coffee Break Menus (1–31 Julai),
· Charcoal Peranakan Menu (Julai–Disember). - Ibis Kuala Lumpur City Centre
Tarikh: 1 – 31 Julai 2025 (Setiap Jumaat dan Sabtu)
Aktiviti: Buffet Makan Malam “Malaysian Delights – Mega Sales!” dan persembahan kebudayaan.
Pada tahun 2024, Malaysia telah mencatatkan jumlah perbelanjaan pelancongan sebanyak RM106.783 bilion, dengan komponen makanan dan minuman menyumbang 16.1% iaitu peningkatan sebanyak 0.9% berbanding tahun 2023. Data ini membuktikan bahawa pelancongan gastronomi yang memberi pengalaman kulinari tempatan merupakan sebahagian aktiviti pilihan oleh pelawat tempatan dan antarabangsa.
TAMAT
Tourism Malaysia
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.
Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran kempen Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).
Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, X, YouTube, dan TikTok.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Masrina Mohd Bakri
Penolong Pengarah Kanan
Bahagian Pembangunan Pakej
masrina@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8544
Norshariza Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
norshariza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8775