Oct 27, 2022

JERAYAWARA ‘JOM KE SARAWAK’ SIRI LEMBAH KLANG TINGKATKAN PROMOSI PRODUK DAN PAKEJ PELANCONGAN BUMI KENYALANG

KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2022 – Tourism Malaysia hari ini menganjurkan program jerayawara ‘Jom Ke Sarawak’ Siri Lembah Klang bagi mempromosikan pelbagai produk dan pakej pelancongan menarik dengan mempertemukan pengendali pelancongan dari Bumi Kenyalang bersama penggiat industri di Wilayah Tengah dalam sesi perniagaan ke perniagaan (B2B).

Dijayakan dengan kerjasama Association of Sarawak Inbound Agencies (ASIA), program tersebut turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni Persembahan dan Industri Kreatif Sarawak, Sarawak Tourism Board, Business Events Sarawak by Sarawak Convention Bureau dan Malaysia Aviation Group.

Program bertujuan merancakkan lagi sektor pelancongan domestik dan antarabangsa menerusi penyampaian informasi serta penawaran produk dan pakej pelancongan terkini bagi menarik minat melancong ke Sarawak dengan penyertaan 20 organisasi terdiri daripada agensi pelancongan, pemilik produk pelancongan, agensi kerajaan serta pengusaha kraftangan yang dibawa khas bagi memperkenalkan keunikan pembuatan hasil kraf Sarawak.

Turut ditawarkan ialah pelbagai insentif daripada Sarawak Tourism Board dan Business Events Sarawak kepada penggiat industri yang berjaya membawa kemasukan kumpulan pelawat ke Sarawak sama ada untuk tujuan melancong mahupun mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

Program jerayawara itu dirasmikan oleh Dato’ Hj. Zainuddin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia dan turut dihadiri oleh Encik Iskandar Mirza Mohd Yusof, Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia; Encik Suriya Charles Buas, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tourism Board; Cik Gloria Pang, Eksekutif Kanan, Bahagian Pembangunan Perniagaan Business Events Sarawak dan Encik Philip Yong, Pengerusi ASIA.

Sewaktu program berlangsung, turut diperkenalkan ialah ‘Sarawak 360 Experience: Stories From The Heart’ iaitu 10 episod dokumentari dihasilkan oleh ASIA dengan mengetengahkan konsep penceritaan berkisarkan pengendali pelancongan tempatan yang memiliki minat mendalam dalam aktiviti seperti berbasikal, berkayak, selam skuba, konservasi hidupan liar dan pembuatan songket.

Dato’ Hj. Zainuddin berkata, penganjuran program jerayawara ‘Jom Ke Sarawak’ Siri Lembah Klang merupakan kesinambungan daripada kejayaan siri pertamanya yang bermula pada Mei lalu di Pantai Timur (Kota Bharu, Kelantan) dan Wilayah Utara (Pulau Pinang) dengan janaan potensi nilai jualan (potential sale) melebihi RM500,000.

Sarawak merekodkan 243,281 ketibaan pelancong dari Januari hingga September 2022 melibatkan 106,772 pelancong antarabangsa dan 136,509 pelancong domestik.

TAMAT


Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.


Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Kevin Jantan Anak Robert Bidi
Timbalan Pengarah Negeri
Pejabat Penyeliaan TIC Sarawak
kevin@tourism.gov.my
Tel: +6082 246 775

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use