Oct 21, 2022

TOURISM MALAYSIA ANJUR JOM CUTI-CUTI MALAYSIA TRAVEL FAIR 2022

KUALA LUMPUR, 21 Oktober 2022 – Tourism Malaysia hari ini menganjurkan program Jom Cuti-Cuti Malaysia (JCCM) Travel Fair 2022 di MyTOWN Shopping Centre dalam usaha merancakkan lagi aktiviti pemasaran serta mempromosikan pakej-pakej percutian domestik bersama penggiat industri pelancongan terpilih dari seluruh Malaysia.

Pameran pelancongan tersebut yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, turut menjadi platform kepada pemain industri untuk memperkenalkan produk pelancongan baharu di Malaysia selain berpeluang menjual pakej-pakej pelancongandan tiket masuk secara terus kepada pengguna pada harga diskaun menarik dan kompetitif.

Dato’ Hj. Zainuddin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, penganjuran JCCM Travel Fair 2022 diharap dapat merangsang permintaan pelancongan domestik sekali gus menggalakkan pelancong untuk melancong secara terancang melalui pembelian pakej-pakej menarik.

Sebanyak 20 pempamer terdiri daripada agensi pelancongan, pengusaha produk pelancongan, taman tema dan hotel menyertai JCCM Travel Fair pada kali ini, antaranya ialah Sunway Lagoon Theme Park, Legoland, Farm In The City, Flywind Holidays (menawarkan pakej-pakej pulau), Glamping Park Gopeng, Farmstay Relau, Honeyzone Travel (pakej Langkawi), Zoo & Taman Burung Melaka, Bayou Lagoon Park Melaka, Borneo Holiday & Vehicle Rental, Ghost Museum, Menara KL, Gamuda Land, Melaka Taming Sari, N Helzy Rent A Car & Travel, I-World Travel & Tours Sdn Bhd, Kurma Travel & Tours Sdn Bhd, Borneo StarCruise Sdn Bhd dan Segar City.

Mengadaptasi tema karnival bagi menarik minat segmen keluarga, pelbagai pengisian menarik turut diatur seperti persembahan kebudayaan, kuiz pelancongan, sesi mewarna kanak-kanak serta penampilan khas pempengaruh media sosial seperti Faiz Dickie dan Fikri Zamri.

“Menerusi penganjuran JCCM Travel Fair 2022, kita harap dapat membantu penggiat industri tempatan untuk menerima tempahan pakej-pakej pelancongan daripada para pelancong bagi menggalakkan mereka untuk meneroka destinasi serta produk pelancongan baharu di dalam negara.

“Setakat ini, sebanyak tujuh jerayawara JCCM telah dilaksanakan oleh Tourism Malaysia di beberapa AEON terpilih serata Malaysia dengan jumlah jualan keseluruhan mencecah sebanyak RM8.03 juta. Menerusi penyertaan Tourism Malaysia di MATTA Fair Kuala Lumpur yang diadakan pada April dan September tahun ini, jumlah jualan yang diraih pula adalah sebanyak RM4 juta, justeru menunjukkan trend positif rakyat Malaysia memilih untuk melancong di dalam negara,” kata Dato’ Hj. Zainuddin.

TAMAT




Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.


Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Nurazah Jalaludin
Penolong Pengarah Kanan
Bahagian Domestik & Acara
nurazah@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8405

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos
Related Videos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use