Mar 25, 2022

EKSPRESI CUTI - CUTI MALAYSIA TEROKA KEISTIMEWAAN DAERAH HILIR PERAK & PERAK TENGAH

TELUK INTAN, 25 Mac 2022 – Seramai 19 wakil media terdiri daripada agensi media cetak, elektronik dan media baharu menyertai Program Ekspresi Cuti-Cuti Malaysia: Getaway To Perak anjuran Tourism Malaysia selama empat hari dari 22 hingga 25 Mac 2022.

Program bertujuan mengembalikan keyakinan rakyat untuk melancong bagi menguar-uar jaminan produk pelancongan bersih dan selamat seiring persiapan menuju ke arah fasa peralihan endemik susulan pembukaan semula pintu sempadan negara berkuat kuasa 1 April 2022. Program ini turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) bagi mempromosikan produk-produk pelancongan negeri Perak.

Edisi kali ini membawa para peserta meneroka produk-produk pelancongan berasaskan pengalaman (experiential tourism) di sekitar daerah Hilir Perak dan Perak Tengah meliputi kawasan Bagan Datuk, Teluk Intan, Sungai Manik dan Kampung Gajah dengan memfokuskan kepada destinasi hidden gems, produk minat khas (niche products), warisan, gastronomi serta pelancongan berasaskan komuniti (CBT).

Para peserta memulakan pengembaraan di daerah Bagan Datuk dengan mengunjungi destinasi Sky Mirror di Beting Beras Basah yang menjadi salah satu lokasi penting bagi penyempurnaan Istiadat Pertabalan Sultan Perak sebelum dibawa melawat Ladang Bunga Matahari di Bagan Sungai Burung.

Di Teluk Intan, para peserta menelusuri Jejak Warisan Teluk Intan dengan berbasikal mengelilingi pekan bagi menjejaki Stesen Keretapi Lama, Batu Bertenggek Teluk Intan, Mahkamah Lama Teluk Intan dan Menara Condong Teluk Intan. Aktiviti berbasikal menggunakan perkhidmatan sewaan basikal CycleDios ini merupakan produk pelancongan terbaharu di Teluk Intan.

Selain itu, mereka juga berpeluang mencuba aktiviti memancing udang galah di Sungai Perak, melawat ladang MOCCIS Sdn Bhd, menikmati mi rebus dan rojak di Restoran Mastan Ghani serta menaiki river cruise bagi menyaksikan matahari terbenam selain memerhatikan kelip-kelip dan kepelbagaian spesies burung di Pulau Bangau.

Di Sungai Manik, para peserta dibawa melawat perusahaan kecil dan sederhana, Aryza Suri Cekal Enterprise yang terlibat dalam pembuatan biskut kacang dan kacang tumbuk. Turut diteroka dalam perusahaan desa di sekitar Kampung Gajah ialah penghasilan labu dan tembikar di Kampung Tanjung Bidara serta perusahaan Dodol Opah Yang di Kampung Empai, Pulau Tiga.

Program Ekspresi Cuti-Cuti Malaysia: Getaway to Perak turut diserikan dengan penganjuran Sesi Ramah Mesra Media bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Mohamed Radzi yang dikelolakan oleh MPTI di Restoran Apong Di Hilir Teluk Intan dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato' Hj. Zainuddin Abdul Wahab.

Dato’ Hj. Zainuddin berkata, program ini diharap dapat mengeratkan jalinan kerjasama bersama pihak media dalam mempromosikan produk-produk pelancongan dengan memfokuskan kepada generasi Millennials melibatkan kombinasi media baharu.

“Program Ekspresi Cuti-Cuti Malaysia ialah program yang diberikan nafas baharu bagi menggantikan penganjuran program Ekspresi Media terdahulu. Melalui program ini, kita mahu mempromosikan produk serta destinasi pelancongan kepada umum dari sudut pandang berbeza.

“Apabila pihak media dibawa merasai pengalaman produk-produk pelancongan yang ingin diperkenalkan dalam norma baharu, kita harap hasil daripada publisiti program ini akan dapat meningkatkan lagi permintaan orang ramai untuk melancong ke destinasi pelancongan yang dilawati sekali gus merancakkan kembali sektor pelancongan, seni dan budaya tempatan,” katanya.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia mencatatkan ketibaan seramai 26.1 juta pelancong asing yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Mohd Faharuddin Hatmin
Timbalan Pengarah Kanan
Bahagian Komunikasi Korporat
faharuddin@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8775

Nur Farhana Yahaya
Pegawai Pelancongan Kanan
Bahagian Komunikasi Korporat
farhana@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8757

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use