Mar 18, 2022

INISIATIF MOTAC DALAM MEMBANTU PENGGIAT INDUSTRI MELALUI GERAN PADANAN PELANCONGAN, SENI & BUDAYA (GPPSB)

16 Mac 2022 – Geran Padanan Pelancongan, Seni dan Budaya (GPPSB) terbahagi kepada dua iaitu; Geran Sepadan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK). Kedua-dua geran tersebut adalah merupakan inisiatif kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) seperti yang diumumkan semasa Bajet 2022 di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan MOTAC, bertujuan untuk membantu para penggiat industri dari pelbagai sektor dan latar belakang dalam penganjuran program/acara pelancongan, seni dan budaya yang berimpak tinggi pada tahun 2022.

Menurut YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Jumlah keseluruhan bagi kedua-dua geran sebanyak RM 50 juta adalah untuk menyemarakkan dan merancakkan semula sektor pelancongan dan kebudayaan yang terjejas teruk susulan penularan pandemik COVID-19 sejak 2 tahun yang lalu. Pada masa yang sama, ia dapat membantu para pemain industri yang berkaitan terus berdaya saing bagi mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan selamat untuk dikunjungi serta dapat merangsang ekosistem kesenian dan kebudayaan negara untuk aktif semula, selain memartabatkan kembali Malaysia sebagai destinasi pelancongan terunggul di rantau Asia.

Bagi Geran Sepadan Sektor Pelancongan (GSSP) ia memberi fokus ke atas penganjuran program/acara Domestik dan Antarabangsa apabila pintu sempadan dibuka semula. Mekanisme pelaksanaan adalah seperti berikut:

  • Domestik - siling maksimum sehingga RM500,000.00
  • Antarabangsa - siling maksimum sehingga RM1,000,000.00
  • Penganjur dibenarkan memohon lebih dari satu (1) penganjuran program/acara pada tahun semasa (2022), tetapi setiap permohonan perlu mempunyai konsep dan pengisian yang berbeza.

Tempoh penerimaan permohonan adalah:

  • 60 hari sebelum penganjuran program/acara Domestik
  • 90 hari sebelum penganjuran program/acara Antarabangsa

Tempoh pelaksanaan program / acara yang diluluskan adalah sehingga 31 Disember 2022 dan sebarang pelanjutan tempoh pelaksanaan selepas tarikh tersebut adalah tidak dibenarkan.

Manakala bagi Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) pula ia memberi fokus ke atas penganjuran seni dan budaya yang berimpak tinggi dan mekanisme pelaksanaan adalah seperti berikut:

Siling Peruntukan

  • Jumlah peruntukan maksimum Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) yang boleh dipertimbangkan adalah sebanyak RM500,000 sahaja bagi satu (1) penganjuran program dan acara sahaja dalam tahun 2022 dalam negara.
  • Penganjur dibenarkan memohon lebih dari satu (1) penganjuran program/ acara pada tahun semasa (2022), tetapi setiap permohonan perlu mempunyai konsep dan pengisian yang berbeza.
  • NGO/NPO - Maksimum sehingga 90% daripada kos anggaran perbelanjaan keseluruhan.
  • Syarikat - Maksimum sehingga 80% daripada kos anggaran perbelanjaan keseluruhan.

Kadar Penyaluran - Penyaluran pertama/deposit sehingga 80% daripada jumlah kelulusan sebelum sesuatu program/acara bermula, manakala baki akan disalurkan selepas MOTAC menerima dokumen-dokumen lengkap daripada pemohon.

Tempoh Permohonan dan Pelaksanaan Program/Acara

  • Tarikh akhir penerimaan permohonan beserta kertas cadangan dan tempoh pemprosesan adalah 60 hari sebelum pelaksanaan program/ acara.

Tempoh pelaksanaan program / acara yang diluluskan adalah sehingga 31 Oktober 2022 dan sebarang pelanjutan tempoh pelaksanaan selepas tarikh tersebut adalah tidak dibenarkan.

Permohonan untuk Geran Padanan Pelancongan, Seni & Budaya (GPPSB) yang merangkumi Geran Sepadan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) boleh dikemukakan bermula pada 1 April 2022 dan sebarang info lanjut boleh layari laman web www.tourism.gov.my.

Urus Setia

Geran Padanan Pelancongan, Seni & Budaya (GPPSB)
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia)
Bahagian Perancangan Strategik,
Aras 2, No.2, Menara 1
Jalan P5/6, Presint 5
62200 Putrajaya

DAN

E-mel kepada: gspsb@tourism.gov.my
Talian Untuk Dihubungi: 03-8891 8192 / 8191 / 8196 / 8232
#ComingBackStronger
#KeluargaMalaysia
#BekerjaUntukRakyat


Dikeluarkan oleh:

Unit Komunikasi Korporat
KEMENTERIAN PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA (MOTAC)
Tel: 03-8000 8000
Fax: 03-88917181
Website: www.motac.gov.my
Email: info@motac.gov.my
Facebook, Instagram & Twitter: @mymotac

Copyright ©2021 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use