Sep 15, 2021

DATO’ ZAINUDDIN ABDUL WAHAB DILANTIK KETUA PENGARAH TOURISM MALAYSIA

PUTRAJAYA, 15 September 2021 – Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) mengumumkan pelantikan YBhg. Dato’ Hj. Zainuddin Abdul Wahab sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia yang baharu berkuat kuasa 13 September 2021.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri telah bersetuju melantik Dato’ Zainuddin secara rasmi bagi menggantikan Encik Zulkifly Md Said yang bersara wajib pada 13 September 2021. Dato’ Zainuddin sebelum ini merupakan Pengarah Kanan Pengurusan Tourism Malaysia yang juga menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan).

Beliau yang telah berkhidmat selama 37 tahun dalam perkhidmatan awam, pernah menggalas jawatan Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC) sebelum dilantik sebagai Pengarah Bahagian Produksi dan Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik di Tourism Malaysia.

Dengan pelantikan tersebut, beliau akan terus membantu usaha-usaha pemulihan industri yang terkesan dengan pandemik COVID-19 sekali gus memacu perubahan ke arah digitalisasi pelancongan bagi merealisasikan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030.

TAMAT

Tourism Malaysia

LembagaPenggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia mencatatkan ketibaan seramai 26.1 juta pelancong asing yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Khairul Abidin Nuar
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
khairul@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8760

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use