Mar 9, 2015

Dato' Seri Dr. Ng Yen Yen Ucapan Pengerusi TM Sempena Majlis Makan Malam Bersama Agen Konsortium Bali

UCAPAN
YBHG TAN SRI DATO’ SRI DR. NG YEN YEN
PENGERUSI TOURISM MALAYSIA

MAJLIS MAKAN MALAM BERSAMA DENGAN AGEN KONSORTIUM BALI

MULIA BALI HOTEL, NUSA-DUA, BALI, INDONESIA
09 MAC 2015, ISNIN, 7:00 PM

Salam Sejahtera dan Salam Persaudaraan dari Malaysia

SALUTASI:

Tetamu-tetamu kehormat,

Wakil-wakil pengusaha dan ejen pelancongan,

Wakil-wakil korporat

Wakil-wakil syarikat penerbangan

Bapak-bapak dan Ibu-ibu sekalian,

PENGENALAN

1. Selamat malam. Bagi pihak Tourism Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bapak-bapak dan ibu-ibu sekalian kerana dapat meluangkan masa untuk hadir sama ke majlis yang penuh bermakna ini.

2. Sesungguhnya kehadiran kalian semua pada malam ini amat besar ertinya buat kami kerana ia menunjukkan sokongan dan minat yang mendalam terhadap industri pelancongan Malaysia.

3. Saya berharap agar kunjungan kami ke Pulau Dewata (Island of Gods) ini akan mempertingkatkan lagi persefahaman dan kerjasama demi kepentingan industri pelancongan kedua-dua buah negara.

Bapak-bapak dan Ibu-ibu sekalian,

KEPENTINGAN PASARAN INDONESIA

4. Pasaran Indonesia amat penting buat industri pelancongan Malaysia kerana faktor populasinya yang ramai serta kuasa beli yang mapan. Indonesia adalah penyumbang kedua terbesar kepada jumlah pelancong asing ke Malaysia.

5. Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2014, seramai 2.32 juta (2,321,027) pelancong Indonesia telah berkunjung ke Malaysia, menyaksikan peningkatan sebanyak 11.9% berbanding 2.07 juta (2,074,038) pelancong dalam tempoh yang sama pada 2013.

6. Saya amat gembira kerana semakin ramai penduduk Bali yang memilih untuk bercuti di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Saya percaya bahawa ia adalah atas hasil usaha promosi yang telah dijalankan oleh Tourism Malaysia untuk menarik minat penduduk Bali untuk berkunjung ke Malaysia.

7. Selain itu, sokongan padu daripada agen-agen consortium Bali yang telah membangunkan pakej-pakej pelancongan ke Malaysia merupakan antara faktor utama yang membantu meningkatkan ketibaan pelancong dari Bali ke Malaysia.

8. Saya difahamkan bahawa pada tahun lepas, agen-agen konsortium Bali telah berjaya menjual sebanyak 400 pakej MotoGP dan 300 pakej wisata agama/religi ke Batu Caves kepada pelancong Bali.

9. Oleh yang demikian, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tujuh agen utama yang terlibat iaitu AntaVaya, Bayu Buana, Dwidaya, KCBJ, Suman, Rotama, dan Vita. Semoga kerjasama yang terjalin akan berterusan dan dapat dipertingkatkan.

10. Saya juga percaya bahawa jaringan perhubungan udara yang lebih baik juga menjadi salah satu faktor meningkatnya ketibaan pelancong dari Bali. Pada masa ini, terdapat sebanyak 66 penerbangan seminggu secara langsung dari Bali ke Malaysia dengan jumlah tempat duduk sebanyak 11,544 yang ditawarkan oleh Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air.

11. Saya juga amat berterima kasih kepada Malaysia Airlines kerana turut sudi bekerjasama untuk mempromosikan pelancongan Malaysia di Bali.

Bapak-bapak dan Ibu-ibu sekalian,

TAHUN FESTIVAL MALAYSIA 2015 (MALAYSIA YEAR OF FESTIVALS (MYFEST) 2015

12. Pada tahun ini, Malaysia telah memperkenalkan kempen promosi pelancongannya yang terbaru iaitu Tahun Festival Malaysia atau Malaysia Year of Festivals (MyFest) 2015 yang merupakan kesinambungan daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2014.

13. Ia bertujuan untuk memberikan pelancong satu pengalaman percutian yang menakjubkan dengan memberi penekanan kepada aspek-aspek kebudayaan melalui sambutan pelbagai perayaan oleh rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan budaya.

14. Bertemakan “Endless Celebrations”, sebanyak 50 buah acara dan festival kebudayaan telah dikenalpasti sebagai tarikan utama sepanjang sambutan MyFest 2015 ini, dan kami amat mengalualukan kedatangan anda semua ke Malaysia untuk menyaksikan acara-acara ini.

15. Antara acara-acara dan festival yang akan menyerikan lagi sambutan MyFest 2015 ini ialah Festival Kesenian Orang Asli dan Peribumi Antarabangsa, Festival Topeng Antarabangsa, Royal Floria Putrajaya, dan Festival E-Street Putrajaya.

16. Sempena MyFest 2015 ini, Malaysia telah mensasarkan ketibaan pelancong asing seramai 29.4 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM89 bilion pada tahun 2015. Ia adalah sebahagian usaha kami untuk mencapai ketibaan 36 juta pelancong dengan sumbangan pendapatan berjumlah RM168 bilion pada 2020.

17. Saya berharap agar agen-agen konsortium Bali sudi untuk bekerjasama sekali lagi untuk membangunkan pakej-pakej pelancongan istimewa sempena MyFest 2015 ini. Terdapat banyak acara dan festival kebudayaan yang berlangsung sepanjang tahun ini dan pastinya boleh dijadikan pakej pelancongan yang menarik, selain daripada pakej membeli-belah, F1 dan MotoGP.

18. Sesungguhnya, kami amat memerlukan sokongan padu yang berterusan daripada kalian semua terutamanya ketika Malaysia sedang menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) sepanjang 2014 ini.

Bapak-bapak dan Ibu-ibu sekalian,

PENUTUP

19. Sebelum mengundur diri, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Indonesia khasnya dan kepada semua pihak yang telah sama-sama berusaha untuk menjayakan majlis pada hari ini.

20. Akhir kata, saya berharap agar industri pelancongan Malaysia akan terus menerima sokongan daripada komuniti pelancongan Indonesia. Semoga jalinan kerjasama kita bertambah erat dalam menghadapi hari-hari mendatang.

Sekian, terima kasih.

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use