Mar 14, 2015

Dato' Mirza Ucapan Dato' KP Sempena Majlis Anugerah Cemerlang SMK Putrajaya

UCAPAN
YBHG. DATO’ MIRZA MOHAMMAD TAIYAB
KETUA PENGARAH, TOURISM MALAYSIA

DI HARI ANUGERAH CEMERLANG 2015 SMK PUTRAJAYA
PRESINT 16(1)

DEWAN ACARA, SMK PUTRAJAYA PRESINT 16(1), 14 MAC 2015,
10.45 PAGI

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

SALUTASI

Yang Berusaha, Tuan Haji Mohd Yusof Bin Hassan, Pengetua, SMK Putrajaya Presint 16(1)

Dihormati, Dr Mohamad Rafie Bin Md Kaslan, Yang Dipertua PIBG, SMK Putrajaya Presint 16(1)

Encik Ruslan Bin Abdul Rahman, Penolong Kanan Pentadbiran, SMK Putrajaya Presint 16(1)

Puan Che Marina Binti Ibrahim, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SMK Putrajaya Presint 16(1)

Puan Marizan Binti Mohamad, Penolong Kanan Kokurikulum, SMK Putrajaya Presint 16(1)

Barisan Pengetua dan Guru Besar,

Datuk-datuk, Datin-datin, para ibu bapa,

Barisan Guru dan pelajar yang dikasihi sekalian.

PENGENALAN

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin dan inayahNya maka dapat kita berkumpul bersama-sama bagi menjayakan “Majlis Hari Anugerah Cemerlang’, SMK Putrajaya Presint 16(1) bagi tahun 2015.

2. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian pihak sekolah menjemput saya untuk menghadiri majlis yang gilang-gemilang ini.

3. Usaha pihak sekolah menjadikan Majlis ini sebagai acara tahunan amatlah dipuji kerana ia memberi pengiktirafan kepada mereka yang cemerlang dalam bidang akademik. Selain itu, ia juga akan menyuntik semangat baru kepada pelajarpelajar lain untuk meningkatkan pencapaian akademik masingmasing.

4. Tahniah saya ucapkan atas usaha keras dan ikhlas barisan pentadbir dan guru sekolah ini kerana berjaya menempatkan sekolah ini di tempat ke tiga dalam Wilayah Persekutuan Putrajaya ini bagi pencapaian SPM tahun 2014. Tanpa sokongan guru, tidak mungkin seorang murid berjaya mencapai keputusan akademik yang cemerlang. Saya berharap tradisi kecemerlangan ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan pada tahun-tahun mendatang.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

MEMPERKASAKAN POTENSI PELAJAR

5. Dalam kehidupan dunia tanpa sempadan ini, para pelajar perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan, kemahiran tinggi yang inovatif, memiliki jati diri dan beretika untuk menangani perubahan dan cabaran dengan cekap dan berkesan.

6. Kebolehan berkomunikasi terutamanya dalam Bahasa Inggeris dan penerapan pelbagai kemahiran seharusnya menjadi agenda utama bagi sesebuah sekolah. Selain itu, nilai-nilai agama dan moral perlu diterapkan bagi menjadi pedoman para pelajar di masa hadapan.

7. Dalam hal ini, penyatuan usaha antara pihak guru dan ibu bapa serta sokongan komuniti amatlah penting. Persekitaran yang menyokong perkembangan anak-anak ini sudah tentu akan melahirkan anak-anak yang berjati diri seiring dengan kejayaan akademik yang dicapai.

8. Modal insan seperti inilah yang diharapkan dapat memacu ke arah pembentukan negara maju berasaskan acuan kita sendiri. Segala bakat dan potensi para pelajar dapat dibangunkan dengan efektif.

9. Dengan ini, SMK Putrajaya Presint 16(1) akan dapat melahirkan generasi pewaris kepemimpinan negara yang memiliki idea, mencakupi pelbagai rutin kehidupan, berketrampilan dalam pelbagai bidang, kritis dan kreatif, sekali gus konstruktif. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

PROGRAM PELANCONGAN PELAJAR

10. Atas kapasiti saya sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia, izinkan saya menyentuh sedikit mengenai industri pelancongan yang berkaitan dengan kokurikulum pelajar.

11. Untuk makluman semua, Tourism Malaysia sering menganjurkan seminar 3P atau Program Pelancongan Pelajar di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada guru dan pelajar mengenai faedah yang boleh diperolehi daripada aktiviti pelancongan dan rekreasi di samping menanam budaya melancong dalam kalangan para pelajar.

12. Pelancongan pelajar telah dilancarkan pada 24 Februari 2001 oleh Menteri Pelancongan Malaysia bersama dengan Menteri Pendidikan Malaysia. Saya percaya bahawa program ini jika dilaksanakan dengan berkesan, ia mampu memupuk kemahiran berfikir dan memperolehi pengetahuan melalui pengalaman.

13. Saya ingin menekankan di sini bahawa matlamat utama program ini adalah untuk menyemarakkan aktiviti-aktiviti pelancongan dalam kalangan para pelajar terutamanya dalam sektor pelancongan domestik demi memupuk budaya melancong dalam negara sendiri.

14. Pelancongan pelajar juga membuka ruang kepada pelajar untuk melancong sambil belajar. Di samping itu, ia boleh melahirkan generasi muda yang berbudaya melancong dan berpengetahuan luas tentang sejarah, adat resam, budaya dan khazanah alam semula jadi negara.

15. Oleh yang demikian, saya amat berharap agar guru-guru dan pihak pentadbir sekolah memandang serius terhadap kepentingan program ini memandangkan industri pelancongan merupakan antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

16. Selain itu, saya juga ingin menguar-uarkan tentang kempen promosi pelancongan Malaysia yang terbaru iaitu Tahun Festival Malaysia atau Malaysia Year of Festivals (MyFest) 2015 yang bertemakan “Endless Celebration”.

17. Ia bertujuan untuk memberikan pelancong satu pengalaman percutian yang menakjubkan dengan memberi penekanan kepada aspek-aspek kebudayaan melalui sambutan pelbagai perayaan oleh rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan budaya. Saya berharap agar anda semua dapat memberi sokongan terhadap kempen tersebut.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

PENUTUP

18. Saya percaya bahawa gandingan mantap antara pihak sekolah dengan pihak ibu bapa akan menjadikan SMK Putrajaya Presint 16(1)lebih beraspirasi untuk meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum pelajar agar terus cemerlang serta dapat meningkatkan penglibatan dan rasa kepunyaan ibu bapa serta komuniti terhadap sekolah ini. Hubungan rapat dan mesra ini akan meningkatkan iklim pembelajaran yang kondusif yang faedahnya akan dinikmati oleh para pelajar.

19. Akhir kalam, saya mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah yang telah menganjurkan Hari Anugerah Cemerlang ini dengan jayanya. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga SMK Putrajaya Presint 16(1) kerana telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam bidang kurikulum bagi tahun 2014. Harapan saya agar sekolah ini akan terus mencipta dan mengukir kejayaan dalam semua bidang yang sedang dan yang akan diceburi.

20. Dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim, saya dengan penuh rasa takzimnya merasmikan ‘Majlis Anugerah Cemerlang’ SMK Putrajaya Presint 16(1) 2015. Sekian, terima kasih.

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use