ZOOM! RAMADAN PENGERANG 2008
YB Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said, Menteri Pelancongan Malaysia, akan merasmikan Zoom! Ramadan Pengerang 2008 pada 14 September di Masjid Al-Syifa, Bandar Penawar, Pengerang, Johor. Acara tersebut turut dihadiri Tengku Mahkota Johor, DYAM Tunku Mahkota Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar Al-Haj.
Zoom! Ramadan Pengerang yang berlangsung dari 13 hingga 15 September ini dianjur oleh Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia dengan kerjasama Syarikat DD Media Consult dan Radio Television Malaysia (RTM).
Sepanjang tiga hari tersebut, orang ramai berpeluang untuk membeli pelbagai jenis juadah tempatan dan barangan di Kiosk Ramadan mulai jam 3.30 petang hingga 8 malam.
Orang ramai yang menghadiri majlis pelancaran Zoom! Ramadan Pengerang 2008 ini juga berpeluang untuk menyaksikan persembahan Nasyid oleh Hijjaz, Alfira dan Nazrey (Raihan). Di samping itu, penyampaian sumbangan Hari Raya juga akan diadakan.
FORUM PERDANA
Acara kemuncak pula merupakan pengendalian Forum Perdana pada 14 September, jam 10.00 malam. Forum tersebut yang dikendalikan dengan kerjasama pihak JAKIM dan RTM dihadiri panel jemputan – YBhg. Dato’ Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Hj. Kamsah, Dr. Robiah K. Hamzah dan Ustaz Badli Shah Alauddin. Tajuk perbincangan Forum tersebut ialah “Fikir, Mata, Telinga dan Lidah Ku”.
Acara Zoom! Ramadan Pengerang ini dijangka menjadi tarikan kepada masyarakat tempatan dan juga para pelancong asing. Di samping itu, ia juga dapat membantu mempromosi kawasan Pengerang serta kawasan di persekitarannya termasuk Desaru sebagai destinasi pelancongan yang popular di Malaysia.
Acara tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mengukuhkan pembangunan pelancongan domestik. Di samping menggalakkan integrasi nasional, ia juga merangsang rakyat Malaysia agar merancang percutian dan meneroka pelbagai tarikan pelancongan yang terdapat di negara sendiri. Acara sebegini juga akan mengeratkan kerjasama di antara ahli-ahli sektor awam dan swasta dalam mempromosi pelbagai produk dan tarikan pelancongan serta acara-acara khas.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi En. Abdul Mutalib Awang dari Bahagian Domestik, Tourism Malaysia di talian 03- 2615 8188, faks: 03- 2693 5406 atau menerusi email: enq-domesticpromotion@tourism.gov.my
Dikeluarkan oleh: Bahagian Pengiklanan dan Publisiti, Tourism Malaysia
Tarikh: 11 September 2008
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Daryl Yep di talian 03-2615 8188
Laman Web: www.tourism.gov.my