Mar 11, 2020

Visa dan Tourism Malaysia Sertai Pakatan Strategik Untuk Kembangkan Pelancongan ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 Mac 2020 - Visa Malaysia telah menjalin kerjasama jangka panjang dengan Tourism Malaysia untuk menyokong kempen Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menggalakkan pelancongan masuk dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.

Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, Tourism Malaysia dan Visa membentuk pakatan penting dalam usaha mendorong pelancong masuk dan memacu Malaysia menjadi destinasi pilihan bagi pelancongan terutamanya dalam segmen beli-belah.

Membeli-belah di Malaysia dianggap sebagai salah satu aktiviti pelancongan popular disebabkan kadar tukaran menarik, kualiti produk dan kepelbagaian pilihan.Menurut Tourism Malaysia, untuk tempoh empat tahun berturut-turut, membeli-belah menguasai bahagian perbelanjaan pelancong yang terbesar bagi Malaysia, merangkumi 35.2 peratus daripada jumlah hasil pelancongan pada Jan-Sept 2019 iaitu mencecah RM 23.3 bilion. Ini merupakan peningkatan 14.4 peratus berbanding 2018.

Visa akan menggunakan analitik data dan penyelidikan untuk menjana maklumat pelancong yang berguna. Menerusi usaha sama dengan Tourism Malaysia, langkah ini akan membantu menambah baik pengalaman pelancong apabila mereka mengunjungi Malaysia.

Pakatan ini juga akan memanfaatkan Program Peniaga Terpilih Visa (VPM) yang menawarkan pelbagai ganjaran dan manfaat yang popular dalam kepada pelancong yang mengunjungi Malaysia. Manfaat termasuk tawaran menjamu selera, hiburan keluarga dan program kesejahteraan perubatan bagi pemegang kad Visa. Manfaat ini akan dikongsi menerusi media digital dan saluran pengedaran global Visa dan Tourism Malaysia. Di samping itu, Visa juga akan membantu menggalakkan pelancongan tempatan dengan kerjasama kempen Cuti-Cuti Malaysia Tourism Malaysia dan berkongsi pelbagai tawaran yang relevan kepada pemegang kad Visa tempatan.

Hadir di majlis tandatangan ialah Datuk Musa Hj. Yusof, Ketua Pengarah Tourism Malaysia. Beliau berkata, “MOTAC dan Tourism Malaysia telah memulakan beberapa usaha untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi dan kami mahu menyediakan suasana yang sesuai bagi perniagaan di Malaysia untuk mendorong dan mengukuhkan pertumbuhan pelancongan. Memandangkan Visa kini terlibat sebagai rakan pembayaran pilihan untuk membantu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, kami yakin kami dapat menarik lebih ramai pelancong masuk dan menambah baik pengalaman mereka di negara ini.”

“Visa teruja untuk bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk mempromosikan kempen Truly Asia Malaysia.Kerjasama strategik ini menandakan satu mercu jaya bagi Visa dan Tourism Malaysia. Malaysia mempunyai banyak tempat-tempat pelancongan menarik, dan kami mahu membantu Tourism Malaysia mencapai matlamatnya menjadikan Malaysia salah satu destinasi pelancongan utama dunia. Kami dapat memanfaatkan keupayaan analitik untuk memberikan maklumat kepada pelancong di Malaysia dan mempunyai rangkaian global meluas untuk membantu Tourism Malaysia menaikkan lagi nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di dunia,” kata Ng Kong Boon, Pengurus Negara Visa bagi Malaysia.

“Di samping itu, Visa mempunyai lebih daripada 3.4 bilion kad di serata dunia, dan sesungguhnya kami berusaha membolehkan pemegang kad kami memanfaatkan sepenuhnya keistimewaan apabila mereka melancong menggunakan program peniaga pilihan kami,” tambah Ng Kong Boon.

TAMAT

Untuk lebih banyak siaran media, maklumat media dan ciri-ciri media mengenai industri pelancongan Malaysia, sila kunjungi Pusat Media laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia memberi tumpuan terhadap tugasan khusus mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihanSejak penubuhannya, Tourism Malaysia muncul sebagai peserta utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia mencatatkan ketibaan 25.8 juta pelancong dan hasil pelancongan bernilai RM84.1 bilion, sekali gusmeletakannya sebagai salah satu daripada destinasi pelancongan utama di dunia.

Maklumat Akhbar:
Encik Muadz Samat
Timbalan Pengarah,
Bahagian Komunikasi Korporat
E-mel: muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

VISA INC. (NYSE: V) ialah pemimpin dunia dalam pembayaran digital. Misi kami adalah untuk menghubungkan dunia menerusi rangkaian pembayaran paling inovatif, boleh dipercayai dan terlindung – membolehkan individu, perniagaan dan ekonomi untuk berkembang maju. VisaNet, rangkaian pemprosesan global kami, menyediakan kemudahan yang terlindung dan boleh dipercayai di seluruh dunia, dan mampu mengendalikan lebih 65,000 pesanan transaksi sesaat. Tumpuan kukuh syarikat kepada inovasi menjadi pemangkin bagi pertumbuhan pantas perdagangan digital dalam sebarang peranti bagi semua insan, di mana-mana sahaja. Sambil dunia berpindah dari analog ke digital, Visa mengguna pakai jenama, produk insan, rangkaian dan skala kami untuk mencorak semula masa depan perdagangan. Untuk maklumat lanjut, kunjungi? www.visa.com.my

Hubungan Media:
Grace Tan
Visa Worldwide Pte. Limited
Tel: +65 6671 5468
E-mel: grtan@visa.com

Josephine Yeo
Ruder Finn Asia
Tel: +6016 810 5085
E-mel: yeoj@ruderfinnasia.com
Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use