Sep 5, 2019

TOURISM MALAYSIA TRAVEL MART 2019


KUALA LUMPUR, 5 SEPTEMBER 2019
– Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi telah merasmikan program Tourism Malaysia Travel Mart 2019 yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Program sehari yang diadakan bersempena dengan pameran MATTA Fair 2019 yang akan berlangsung dari 6 hingga 8 September ini bertujuan menemukan pengusaha pelancongan dengan pengusaha produk dan hotel di bawah satu bumbung bagi mendapatkan pelbagai pilihan pakej pelancongan domestik. Program ini juga merupakan kesinambungan kepada program Tourism Malaysia Travel Mart @KL 2019 yang telah diadakan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada 14 Mac lalu.

Program Tourism Malaysia Travel Mart 2019 yang berkonsepkan Perniagaan Kepada Perniagaan atau B2B ini melibatkan pertemuan dua hala antara pengusaha produk dan hotel dari setiap negeri dengan pembeli berpotensi yang terdiri daripada para pengusaha pelancongan yang terlibat mahupun tidak terlibat dengan pameran MATTA Fair 2019.

Datuk Mohamaddin Ketapi dalam ucapannya berkata bahawa program tersebut dapat mengukuhkan hubungan kerjasama selain mewujudkan jaringan perniagaan antara para penggiat industri pelancongan yang menyertai program ini.

”Di samping itu, program Tourism Malaysia Travel Mart ini dapat memberi galakan kepada pertumbuhan sektor pelancongan domestik, sekali gus menjana pendapatan industri pelancongan negara,” sambung beliau lagi.

Menurut beliau lagi, kerjasama daripada wakil-wakil industri pelancongan amatlah diperlukan terutamanya dalam menghasilkan pakej-pakej pelancongan yang menarik dan kreatif kerana ia boleh membantu merancakkan lagi sambutan Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Beliau turut menggalakkan para penggiat industri pelancongan untuk membuat pengiraan detik atau countdown bagi menaikkan semangat rakyat Malaysia untuk menyambut VM2020, selain menggunakan logo VM 2020 di dalam semua aktiviti promosi mereka.

Seramai lebih kurang 200 pembeli dan 101 penjual dari seluruh negara telah menyertai program ini. Bagi program kali ini, pihak penganjur telah menganggarkan pulangan kontrak jualan sebanyak RM500,000.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Unit Media

Encik Muadz Samat,
Penolong Pengarah,
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8755
Emel: muadz@tourism.gov.my

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use