Dec 27, 2020

TOURISM MALAYSIA SURFCASTING TOUR 2020 BERSUA KEMBALI DI LUMUT, PERAK

LUMUT, 27 DISEMBER 2020 – Hadiah wang tunai RM70,500.00, 50 unit hamper dan 15 unit barangan aktiviti luar Igloo adalah antara hadiah menarik yang ditawarkan kepada para pemenang pertandingan memancing Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020 Siri 3 di Pantai Lumut Waterfront dan Pantai Hotel Orient Star, Lumut, Perak, hari ini.

Pertandingan memancing anjuran bersama Tourism Malaysia dan Wakjali Event Management ini, telah menyingkap tirainya pada 15 Mac lalu di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Siri kedua TMST2020 telah dilangsungkan di Pantai Seri Lalang Laut, Mersing, Johor pada 3 Oktober 2020 setelah tertangguh selama tujuh bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Bagi acara kali ini, juara akan membawa pulang wang tunai RM30,000.00, diikuti RM10,000.00 bagi naib juara dan RM5,000.00 bagi tempat ketiga. Pemenang tempat keempat pula akan menerima RM1,500.00, diikuti RM1,000.00 bagi tempat kelima manakala tempat keenam hingga ke-10 akan menerima RM500.00. Pemenang tempat ke-11 hingga ke-20 akan menerima RM400.00 manakala pemenang tempat ke-21 hingga ke-50 akan menerima RM300.00, diikuti RM250.00 bagi tempat ke-51 hingga ke-80.

Kaunter pendaftaran bagi siri ketiga ini telah dibuka di lokasi pertandingan pada hari Sabtu, 26 Disember 2020 bermula jam 12.00 tengah hari. Kaunter dibuka 24 jam bagi memudahkan sesi pendaftaran.

Yuran penyertaan adalah sebanyak RM100.00 untuk satu joran bagi peserta awam manakala orang kelainan upaya (OKU) diberi diskaun sebanyak 50%, iaitu RM50.00. Setiap peserta hanya dibenarkan untuk mendaftar maksimum 2 joran sahaja.

Pertandingan kali ini adalah berkonsepkan “Sapu Bersih” di mana seorang peserta layak memenangi lebih daripada satu hadiah yang ditawarkan. Pihak penganjur juga turut menawarkan sehelai kemeja-T untuk 1,000 peserta yang terawal mendaftarkan penyertaan.

Pertandingan ini dijangka mampu meningkatkan industri pelancongan domestik yang terjejas akibat pandemik Covid-19, di samping membantu ekonomi penduduk tempatan terutamanya para peniaga yang boleh mengambil kesempatan menerima kehadiran para pemancing dari seluruh negara.

Bagi melaksanakan acara ini, pihak penganjur telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pertandingan seperti berikut:

  1. Saringan suhu badan diwajibkan bagi setiap peserta. Peserta yang didapati mempunyai suhu badan lebih 37.5 celsius tidak akan dibenarkan menyertai pertandingan.
  2. Penganjur menyediakan satu khemah berasingan bersama satu unit ambulan dan tiga petugas kesihatan.
  3. Kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dibenarkan hadir ke acara ini.
  4. Peserta berumur 60 tahun ke atas tidak digalakkan mengambil bahagian.
  5. Sentuhan badan sesama peserta dan penganjur adalah tidak dibenarkan.
  6. Penjarakan sosial ketika memancing adalah 1.5 meter. Bagi tujuan ini, penganjur akan meletakkan pancang paip PVC di sepanjang kawasan pertandingan dengan jarak 1.5 meter antara setiap pancang.
  7. Peserta diwajibkan untuk memakai pelitup muka sepanjang pertandingan berlangsung.
  8. Sebanyak 30 anggota RELA akan ditugaskan bagi memantau penjarakan fizikal para peserta ketika memancing.
  9. Hasil tangkapan peserta tidak akan dipamerkan bagi mengelakkan perhimpunan.
  10. Keputusan pertandingan tidak akan dipamerkan. Sebaliknya, peserta hanya akan mengetahui keputusan pertandingan menerusi platform media sosial – Facebook dan Whatsapp.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020, sila layari www.wakjalitour.my atau hubungi secara terus dengan pengurus acara di talian telefon berikut:

Wakjali Event Management
37 Jalan 4/3G, Seksyen 4 Bandar Baru Bangi
43600, Selangor
013-3113911 (Md Zali Kasran), 019-6203040 (Amir Ali Mohamad),
012-2141401 (Hanifah Salam), 013-3838655 (Rosli Chik Mat)

Web: www.wakjalitour.my
Emel: wakjalievent@yahoo.com, wakjalievent@gmail.com

TAMAT

Related Photos

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use