Dec 30, 2020

MAH, TOURISM MALAYSIA DAN SHOPEE BERGANDING BAHU DALAM KEMPEN CUTI-CUTI MALAYSIA YANG TERBARU

PUTRAJAYA, 30 DISEMBER 2020 – Tourism Malaysia bersama-sama Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Shopee Malaysia telah berganding bahu dalam menghidupkan semula ekonomi dan rantaian bekalan pelancongan menerusi Kempen “Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experience Malaysia Like Never Before”.

Kempen di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0) ini akan bermula pada 31 Disember sehingga 31 Mac 2021 dan akan menawarkan e-baucar menarik kepada para pembeli. Pembeli akan dapat menebus e-baucar RM50 dengan pembelian penginapan minima tiga hari dua malam di hotel satu hingga tiga bintang, atau e-baucar RM100 dengan pembelian penginapan minima tiga hari dua malam di hotel empat dan lima bintang di seluruh negara. E-baucar hanya boleh ditebus oleh rakyat Malaysia dan adalah layak untuk digunakan sekali sahaja berdasarkan terma dan syarat ‘first come first serve’. Pembayaran boleh dibuat menggunakan ShopeePay, kad debit atau kad kredit. 18,750 pembeli terawal juga akan menikmati baucar tambahan RM20.

Encik Zulkifly Md. Said, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, “PRE 1.0 bertujuan untuk menarik rakyat Malaysia untuk melancong secara domestik dan pada masa yang sama menyokong industri perhotelan dalam menjana pendapatan dan mengekalkan perniagaan. Hasil daripada ini akan memberi kesan yang berlipat ganda dan akan membantu menghidupkan semula ekonomi negara kita.”

Encik Yap Lip Seng, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia pula berkata, “MAH mempunyai lebih dari 400 hotel dari satu hingga lima bintang di seluruh negara yang sudah pun menawarkan harga-harga istimewa. Susulan daripada itu, rakyat Malaysia kini dapat memanfaatkan e-baucar yang ditawarkan oleh pihak kerajaan. Peluang ini sememangnya tidak boleh dilepaskan, dan saya berharap hasilnya akan memberi sedikit harapan bagi industri perhotelan Malaysia yang amat terkesan akibat pandemik ini.”

“Kini, Malaysia telah beralih ke fasa pemulihan ekonomi. Tourism Malaysia dan Persatuan Hotel Malaysia menggalas tanggungjawab yang berat dalam memastikan industri pelancongan dapat dihidupkan kembali. Sebagai platform yang mengutamakan keperluan komuniti tempatan, Shopee juga ingin memberi sokongan dan sumbangan. Kami akan menggugurkan semua komisen dan caj transaksi di platform kami bagi kempen ini sebagai dorongan tambahan buat para pemain industri. Bersama-sama dengan e-baucar menarik yang ditawarkan oleh pihak kerajaan, kami yakin industri perhotelan akan kian pulih,” kata Encik Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau Shopee.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berharap program-program dan inisiatif yang telah dirancang dapat membantu menghidupkan semula sektor pelancongan domestik dengan kerjasama semua pihak yang terlibat untuk kelangsungan ekonomi negara.

Untuk maklumat lanjut tentang “Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experience Malaysia Like Never Before”, layari https://shopee.com.my/m/jom-cuti-cuti-malaysia.

-TAMAT-

Tentang Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia menerima 26.1 juta pelancong dan mencatatkan RM86.14 bilion perbelanjaan pelancong, sekaligus meletakkan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan terunggul di dunia.

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Unit Media
Muadz Samat
Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Tentang Persatuan Hotel Malaysia (MAH)

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) ialah sebuah persatuan bagi hotel-hotel di Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1974 oleh sekumpulan pengusaha hotel yang prihatin dan berdedikasi dalam mewujudkan industri perhotelan yang lebih dinamik dan bertujuan untuk membina tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, inovatif dan berdisiplin. Matlamat jangka panjang MAH adalah untuk meningkatkan kecekapan industri perhotelan, sekali gus mewujudkan industri perhotelan Malaysia yang lebih dinamik. Sebagai rangkaian nasional rasmi untuk industri perhotelan, MAH mewakili lebih dari 900 hotel di seluruh Malaysia yang menyediakan sejumlah 155,287 bilik yang merupakan sekitar 65% dari jumlah bilik hotel yang tersedia untuk penginapan tetamu di negara ini. Merangkumi 13 chapter di seluruh negara, MAH bertindak sebagai suara industry dan berfungsi sebagai badan yang mempromosikan, melindungi, mewakili dan memajukan kepentingan anggota-anggotanya.

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Eksekutif - Pemasaran & Komunikasi
Mohamad Hazzriq Shah Bakri
communications@hotels.org.my

Tentang Shopee Malaysia

Shopee ialah sebuah platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan. Platform ini telah dilancarkan sekitar tujuh pasaran pada tahun 2015 untuk menghubungkan pengguna, penjual, dan perniagaan di rantau ini. Shopee menawarkan pengalaman yang mudah, selamat, dan menarik yang dinikmati oleh berjuta-juta pengguna setiap hari. Shopee menawarkan pelbagai jenis produk dan disokong oleh pembayaran dan logistik bersepadu, serta fitur hiburan popular yang disesuaikan untuk setiap pasaran. Shopee juga merupakan penyumbang utama bagi ekonomi digital rantau ini dengan komitmen tegas untuk membantu jenama-jenama dan para usahawan berjaya dalam dunia e-dagang.

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Zamani Wisam
Pegawai Pemasaran (Perhubungan Awam)
zamani.wisam@shopee.com
Tel: +6012-3507604

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use