Mar 16, 2023

TOURISM MALAYSIA RAIKAN PENGGIAT INDUSTRI PELANCONGAN DOMESTIK

KOTA KINABALU, 28 April 2023 - Tourism Malaysia dengan kerjasama Kelab Bola Sepak Sabah (Sabah FC) dan lapan agensi pelancongan di Sabah hari ini melancarkan pakej sukan pelancongan 3 Hari 2 Malam “Bola In The City With Sabah FC – A Trip of Excitement!” pada harga lebih murah iaitu RM330 seorang.

Majlis Apresiasi Pelancongan Domestik itu telah disempurnakan oleh YB Tuan Khairul Firdaus Akhbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Turut hadir ialah Encik Iskandar Mirza Mohd Yusof, Pengarah Kanan Bahagian Domestik & Acara Tourism Malaysia serta Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Setiausaha Bahagian Kanan(Pengurusan) merangkap Ketua Pegawai Digital Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Sebanyak 21 pameran pelancongan domestik yang dianjurkan dengan penglibatan Tourism Malaysia seperti Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia 2022, MATTA Fair 2022 dan Tourism Malaysia Travel Fair, telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 394 agensi dan pengusaha produk pelancongan serta penginapan dari seluruh negara dengan jumlah jualan keseluruhan mencecah RM15.2 juta.

Di samping itu, di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (Pakej Rangsangan Ekonomi 2.0), penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia juga diteruskan dalam bentuk penebusan diskaun, baucar dan rebat menerusi kerjasama strategik dengan penggiat industri melibatkan lima kluster iaitu kluster pengangkutan darat, kluster pengangkutan udara, kluster persatuan pelancongan, kluster penginapan dan kluster pelancongan minat khas.

“Inisiatif ini telah memanfaatkan 248,450 pengguna dalam kalangan rakyat Malaysia dengan nilai penebusan keseluruhan berjumlah RM10.9 juta manakala hasil jualan yang direkodkan adalah sebanyak RM40.67 juta,” kata YB Tuan Khairul Firdaus Akhbar Khan.

Antara rakan penggiat industri yang terlibat termasuklah syarikat penerbangan (Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MASwings), perkhidmatan pengangkutan darat seperti KLIA Ekspres dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta persatuan pelancongan terdiri daripada Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA), Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA), Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan India Malaysia (MITTA) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA).

Selain itu, Tourism Malaysia turut bekerjasama dengan Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA), Persatuan Penyelam Skuba Malaysia (MSDA), Persatuan Kampungstay & Homestay Malaysia (MKHA) serta beberapa persatuan penginapan seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) serta rangkaian Hotel Seri Malaysia., Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi juga telah menjayakan program seminar dan International Tourist Guide Day Eco Walk di Zero Km Kuah.


TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, dan TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Solehuddin Ahmad
Timbalan Pengarah
Bahagian Domestik & Acara
solehuddin@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8456

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use