Mar 13, 2023

TOURISM MALAYSIA PERKUKUH JARINGAN KERJASAMA PELANCONGAN KE ARAH PERSEDIAAN PENGANJURAN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2025

KUALA TERENGGANU, 13 Mac 2023 – Sebagai persediaan ke arah penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2025, Tourism Malaysia mengalu-alukan kolaborasi serta jalinan strategik dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan lagi daya tarikan negara ini di mata dunia.

Bagi menjayakannya, Tourism Malaysia menganjurkan program pitching dan bengkel perkongsian ilmu bersama media tempatan mengenai pembentangan pelan serta terma rujukan agensi pengiklanan luar negara yang berlangsung di Hotel Paya Bunga, Kuala Terengganu pada 13 dan 14 Mac 2023.

Antara objektifnya ialah untuk mempertingkatkan promosi di media massa dan media sosial dengan jalinan kolaborasi bersama media-media utama tempatan bagi pasaran domestik. Promosi ini adalah melalui publisiti dan slot di media digital, media cetak, TV dan rangkaian radio tempatan, serta program travelog dan kandungan berjenama.

Selain itu, aktiviti pengiklanan ini akan turut diperluaskan ke luar negara dalam memastikan keberadaan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan khazanah alam seperti pantai dan kepelbagaian flora dan fauna bagi melonjakkan lagi aktiviti pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2025.

YBhg. Dato’ Haji Zainuddin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, promosi awal akan dipergiatkan oleh Tourism Malaysia sebagai persediaan untuk VM2025 bagi mencapai sasaran ketibaan 23.5 juta pelancong antarabangsa dengan unjuran pendapatan RM76.8 bilion pada tahun 2025 nanti.

Tourism Malaysia telah menganjurkan sesi makan malam yang diwakili oleh Encik Mohd Roslan Abdullah, Pengarah Bahagian Pengiklanan dan Digital di Taman Tamadun Islam (TTI) River Cruise bersama 9 agensi media tempatan.

Rentetan dari ucapan belanjawan tahun 2023 yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada 24 Februari lalu, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM250 juta untuk sektor pelancongan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM135 juta diperuntukkan untuk promosi pelancongan antarabangsa dan domestik manakala sebanyak RM115 juta sebagai geran padanan bagi menggalakkan aktiviti promosi, penganjuran acara dan usaha sama dengan syarikat penerbangan antarabangsa bagi menggalakkan penerbangan sewa khas.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Norsafrina Mohamad Rambli
Pegawai Pelancongan Kanan
Bahagian Pengiklanan & Digital
norsafrina@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8739

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755


Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use