Oct 8, 2022

TOURISM MALAYSIA MENGANJURKAN PROGRAM JOM CUTI-CUTI MALAYSIA ROADSHOW 2022 DI JOHOR BAHRU

JOHOR BAHRU, 8 Oktober 2022 - Tourism Malaysia hari ini meneruskan penganjuran program Jom Cuti-Cuti Malaysia Roadshow 2022 (JCCM2022) di Johor Bahru dalam usaha merancakkan lagi aktiviti pemasaran dan mempromosikan pakej-pakej percutian domestik oleh penggiat industri pelancongan dari seluruh Malaysia.

Program selama tiga hari ini berlangsung di AEON Mall Tebrau City, Johor Bahru bermula 7-9 Oktober 2022 bagi meningkatkan aktiviti pemasaran dan promosi pelancongan domestik yang selari dengan peralihan negara ke fasa endemik.

Program di AEON Mall Tebrau City, Johor Bahru ini merupakan lokasi ketujuh daripada lapan lokasi yang dirancang bagi siri Jom Cuti-Cuti Malaysia Roadshow 2022. Lokasi kelapan dan terakhir akan diadakan di AEON Mall Bandaraya Melaka pada 25-27 November 2022.

Sebelum ini, siri program Jom Cuti-Cuti Malaysia Roadshow 2022 telah dilaksanakan dengan jayanya di enam lokasi iaitu di AEON Mall Kinta City (27-29 Mei 2022), AEON Mall Nilai (3-5 Jun 2022), AEON Mall Bukit Tinggi, Klang (22-24 Julai 2022), Blue Atrium, Sunway Pyramid (26-28 Ogos 2022), AEON Mall Shah Alam (2-4 September 2022) dan AEON Mall Kota Bharu (23-25 September 2022). Hasil jualan pakej-pakej pelancongan oleh penggiat industri pelancongan bagi enam lokasi di atas adalah sebanyak RM8.8 juta.

Bagi siri di Johor Bahru, sebanyak 29 penggiat industri mengambil bahagian dalam program JCCM2022 kali ini dengan menawarkan pakej percutian dan penginapan serta tiket masuk pada harga menarik melibatkan pengusaha produk, agensi pelancongan, hotel dan taman tema.

En. Iskandar Mirza Mohd. Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia berharap program ini akan dapat menarik minat penduduk di sekitar Johor termasuk rakyat Singapura untuk berkunjung ke kompleks beli-belah berkenaan bagi membeli pakej-pakej percutian yang ditawarkan.

Selain daripada jualan pakej pelancongan, Jom Cuti-Cuti Malaysia Roadshow 2022 juga menyajikan persembahan tarian kebudayaan, kuiz pelancongan dan cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir ke program ini.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Maizatul Liza Mukhtar
Penolong Pengarah
Bahagian Domestik & Acara
maizatulliza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8493

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use