Dec 29, 2021

TOURISM MALAYSIA MEMPROMOSIKAN EKOPELANCONGAN DI EXPO 2020 DUBAI

DUBAI, 29 Disember 2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui agensinya Tourism Malaysia telah mengambil alih Astaka Malaysia untuk tempoh seminggu di Expo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 26 Disember 2021 hingga 31 Disember 2021.

Bertemakan ekopelancongan, Malaysia dipromosikan sebagai Top of the Mind Ecotourism Destination of the World. Minggu Ekopelancongan di Astaka Malaysia adalah bertepatan dengan Dasar Pelancongan Negara Malaysia 2020-2030 yang mengetengahkan aktiviti pelancongan lestari dan bertanggungjawab. Delegasi Malaysia disertai oleh 16 organisasi yang terdiri daripada lima (5) lembaga pelancongan negeri, tiga (3) persatuan, satu (1) rangkaian hotel, satu (1) pemilik produk dan enam (6) pengusaha pelancongan.

Sepanjang Minggu Ekopelancongan di Astaka Malaysia, Tourism Malaysia juga menganjurkan siri perkongsian ilmu Expert Talk di mana para peserta berpeluang mengetahui dengan lebih lanjut tentang perspektif-perspekstif ekopelancongan yang berbeza di Malaysia oleh para penceramah terkenal Malaysia iaitu:

• En. Andrew Sebastian – Ecotourism & Conservation Society Malaysia

• En. Syed Abd Rahman Syed Hassan – Diveheart Malaysia

• Prof. Adj. Anthony Wong Kim Hooi – Pakar Ekopelancongan & Kelestarian

• En. Eric Sinnaya – Malaysia Nature Society

Yang Berhormat Menteri Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri turut merasmikan pelancaran beca tradisional Malaysia pada hari ini serta beberapa pakej Malaysia yang mempromosikan produk ekopelancongan baharu di seluruh Malaysia.

Dato' Sri Nancy juga akan menghadiri majlis networking dinner bersama para pemain industri dan wakil media di UAE pada 30 Disember 2021 bersempena Misi Jualan Pelancongan yang pertama kali diketuai beliau di Timur Tengah. Misi pelancongan yang bermula 1 hingga 5 Januari 2022 bertujuan memulihkan dan meningkatkan komitmen dalam mewujudkan kerjasama pelancongan bersama pemain industri pelancongan antarabangsa pada masa hadapan.

Pada tahun ini, Kerajaan Malaysia telah melancarkan Projek Rintis Gelembung Perjalanan Antarabangsa Langkawi yang menyasarkan ketibaan para pelancong antarabangsa lengkap divaksinasi bermula 15 November lalu. Selain itu, Malaysia turut membuka semula sempadan darat dan udaranya untuk warga Singapura melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) bermula 29 November.

Setakat 27 Disember 2021, 97.6% daripada populasi dewasa Malaysia telah vaksin sepenuhnya, manakala peratus keseluruhan populasi penduduk yang telah menerima vaksinasi lengkap ialah 78.4%.

Penyertaan Malaysia dalam Expo 2020 Dubai diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.expo2020dubai.com/.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia mencatatkan ketibaan seramai 26.1 juta pelancong asing yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Amir Muhammad Hanif
Pengurus Pemasaran
Pejabat Tourism Malaysia Dubai
amirhanif@tourism.gov.my
Tel: +971 4 3377 578

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755


Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use