Sep 28, 2019

TOURISM MALAYSIA MELANCARKAN LAMAN SESAWANG BIRDS MALAYSIA “WWW.BIRDSMALAYSIA.MY”


KUCHING, SARAWAK, 29 SEPTEMBER 2019: Tourism Malaysia telah melancarkan laman sesawang Birds Malaysia (www.birdsmalaysia.my) hari ini bersempena dengan program 10th Asian Bird Fair 2019 di Kuching, Sarawak.

Melalui kerjasama diantara Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya Malaysia dan Tourism Malaysia, laman sesawang ini telah mula dibangunkan oleh Ecotourism Conservation Society of Malaysia (ECOMY) semenjak bulan Mac tahun ini. Ia merupakan suatu landasan kepada pengusaha-pengusaha pelancongan tempatan dan peminat-peminat burung untuk mempromosikan lokasi dan pakej pelancongan di Malaysia yang memfokuskan produk-produk eko pelancongan khususnya kepada aktiviti pakej “bird watching” melalui laman sesawang tersebut.

Laman sesawang ini akan memudahkan para penggiat industri tempatan memasarkan pakej-pakej pelancongan berasaskan eko pelancongan dan “birdwatching” kepada pelancong di Malaysia dan juga di luar negara.

Lebih daripada 25 pakej telah ditawarkan oleh tujuh agensi pelancongan tempatan yang bergiat aktif di dalam aktiviti “birdwatching”. Pelbagai pakej menarik ditawarkan di dalam laman sesawang ini pada harga yang istimewa, antaranya pakej “Birding @ Tabin” di Sabah, “Birdwatching @ Mulu Sarawak” dan “Birdwatching Tour @ Taman Negara Pahang.” Pakej-pakej ini berharga serendah RM3,500 dan ke atas bagi pakej 6Hari 5 Malam.

Selain itu laman sesawang ini juga menyediakan satu landasan kepada para peminat burung untuk berkongsi pengalaman, gambar dan juga pengetahuan untuk mengenal pasti spesies burung yang terdapat di Malaysia. Di Malaysia, terdapat lebih dari 750 spesies burung dan lebih dari 50 jenis burung endemic. Selain itu juga, di Malaysia terdapat sebanyak 55 lokasi Important Bird Area (IBA) termasuk Sabah dan Sarawak.

Sumber-sumber dari ECOMY, Malaysia Nature Society (MNS) dan penggiat industri birding tempatan menganggarkan harga purata pakej birding bagi setiap orang adalah sebanyak RM6,500. Dengan anggaran seramai 5,663 peminat-peminat burung antarabangsa yang akan melawat Malaysia sehingga akhir tahun ini, pendapatan dari aktiviti birdwatching ini dijangka akan mencapai sebanyak RM36.8 juta.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Encik Zulkifly Md. Said berkata, “Segmen birding ini adalah dianggap sebagai pelancongan minat khas tetapi ia berpotensi untuk menjana pendapatan pelancongan tinggi dengan menarik minat pelancong yang berkualiti. Pelancaran laman web ini tepat pada masanya kerana ia dapat meningkatkan kedatangan pelancong antarabangsa ke Malaysia dan menyokong kempen Melawat Malaysia 2020.”

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia
Muhammad Aminuddin Abdul Majid
Nur Azira Abd Samad
aminuddin@tourism.gov.my
nurazira@tourism.gov.my

Unit Media
Encik Muadz Samat, Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8755
Emel: muadz@tourism.gov.my

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use