Jun 4, 2022

TOURISM MALAYSIA LANCAR PENGIKLANAN BADAN PESAWAT DAN KEMPEN #GOJALANLAH BERSAMA FIREFLY



SHAH ALAM, 4 Jun 2022 – Tourism Malaysia menjalinkan kerjasama bersama syarikat penerbangan Firefly menerusi pelancaran pengiklanan badan pesawat (livery) serta Kempen #GoJalanLah bermula 1 Jun sehingga 31 Mei 2023 dalam usaha meningkatkan promosi pelancongan domestik.

Pelancaran kempen tersebut yang berlangsung di Sky Park RAC Industrial Park Bukit Jelutong, Shah Alam hari ini telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Dato’ Zainuddin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See.

Menerusi kempen ini, bahagian depan badan pesawat Firefly dihiasi dengan logo Cuti-Cuti Malaysia bagi menggalakkan rakyat Malaysia untuk melancong di dalam negara. Selain itu, turut dipaparkan di dalam pesawat ialah visual kreatif produk-produk pelancongan menarik berserta logo sambutan ulang tahun ke-50 Tourism Malaysia.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy berkata, kerjasama pintar yang dijalinkan oleh kedua-dua pihak ini merupakan salah satu inisiatif bagi merangsang semula pertumbuhan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.

“Saya amat mengalu-alukan usaha Firefly dalam melebarkan sayap penerbangannya dari Pulau Pinang ke Sabah dan Sarawak. Langkah ini diharap dapat menggalakkan lebih banyak penerbangan dua hala yang menghubungkan pergerakan rakyat antara Malaysia Timur dan Semenanjung Malaysia khususnya dari Wilayah Utara.

“Malahan, di bawah Kempen #GoJalanLah, pihak Firefly turut menawarkan pelbagai pakej percutian dan tiket penerbangan menarik,” katanya.

Kempen #GoJalanLah menawarkan pembelian tiket penerbangan berserta hotel penginapan pada harga diskaun sehingga 35 peratus. Tempahan boleh dibuat di www.fireflyz.com.my sehingga 30 Jun 2022 bagi tempoh perjalanan sehingga 31 Disember 2022.

Orang ramai juga boleh menikmati tawaran hebat untuk pembelian tiket penerbangan pergi dan balik ke semua destinasi kendalian Firefly pada harga bermula RM188, tertakluk kepada terma dan syarat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See berkata, pihaknya bersedia untuk menyokong inisiatif kerajaan dalam menyemarakkan pelancongan domestik khususnya dari segi penawaran tiket penerbangan pada kadar istimewa selain promosi menyeluruh di platform media sosial.

“Kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif ini. Dengan pelancaran ‘livery’ yang menggarapkan elemen Cuti-Cuti Malaysia, kami berharap dapat memberikan lebih insipirasi dan pendedahan dalam mempromosikan pelbagai tarikan pelancongan serta keunikan destinasi di dalam negara di samping menghubungkan para pelancong dengan budaya tempatan,” katanya.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Norsafrina Mohamad Rambli
Penolong Pengarah Kanan
Bahagian Pengiklanan & Digital
norsafrina@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8739

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use