TOURISM MALAYSIA LANCAR PAKEJ “MALAYSIA BIRDWATCHING PARADISE 2023”
KOTA KINABALU, 19 Oktober 2023 - Tourism Malaysia telah melancarkan pakej “Malaysia Birdwatching Paradise 2023” bagi mempromosikan segmen pelancongan minat khas tersebut dalam kalangan pemerhati burung di dalam dan luar negara untuk meningkatkan lagi ketibaan pelancong ke Malaysia.
Sebanyak 15 pakej pelancongan ditawarkan oleh tujuh agensi pelancongan untuk tempoh perjalanan dari 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024 melibatkan lokasi tumpuan bagi aktiviti pemerhatian burung di negeri Sabah, Sarawak, Pahang, Kedah dan Terengganu. Penawaran pakej tersebut bermula daripada aktiviti “birding” selama empat jam di Langkawi sehingga ke itinerari 7 hari 6 malam di Sarawak.
Tujuh agensi pelancongan yang terlibat ialah Danz Travel & Adventure Sdn Bhd, Natural History Tours Sdn Bhd, Ping Anchorage Travel & Tours Sdn Bhd, Borneo Nature Tours Sdn Bhd, Tabin Wildlife Holidays Sdn Bhd, Inter-Borneo Tours Sdn Bhd dan Borneo Birding Tours Sdn Bhd.
Kempen promosi pakej “Malaysia Birdwatching Paradise 2023” telah dilancarkan dan mula dijual kepada para pengunjung sewaktu penganjuran Asian Bird Fair 2023 yang berlangsung di Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu pada 13-14 Oktober lalu. Antara pasaran sasaran bagi aktiviti “birding” di Malaysia ialah United Kingdom, Amerika Syarikat, Denmark, China dan Singapura.
Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, segmen “birding” giat dipromosikan selari dengan sokongan terhadap pelancongan mampan dan bertanggungjawab.
“Malaysia bertuah kerana memiliki kira-kira 873 spesies burung yang mewakili 7.4% daripada populasi global. Daripada jumlah itu, 91 spesies ialah jenis endemik atau hampir endemik serta tidak ditemukan di mana-mana lokasi lain di dunia.
“Oleh itu, Tourism Malaysia bersedia untuk mempromosikan lebih banyak segmen pelancongan minat khas seperti aktiviti “birding” ini yang bukan sahaja menawarkan kelainan dalam pengalaman pelancongan di Malaysia, malah berpotensi membawa limpahan ekonomi kepada penggiat industri tempatan serta masyarakat setempat,” katanya.
Antara spesies burung di Malaysia yang mendapat tempat dalam kalangan pemerhati hidupan itu untuk disaksikan dalam tawaran pakej kali ini ialah burung jenis Blue- banded Pitta, Bornean Frogmouth, Bornean Barbet, Mountain Serpent Eagle, Mountain Rail Babbler, Crested Shrikejay, Barred Eagle Owl, Oriental Bay Owl, Dulit Frogmouth, Black Oriole, Hose’s Broadbill dan Bornean Frogmouth.
Maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh diperoleh menerusi laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel.
TAMAT
Tourism Malaysia
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal.Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, dan TikTok.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755
Rubiah Tul’Adwiyah Hj. Md. Yusof
Timbalan Pengarah
Bahagian Pembangunan Pakej
intanrubi@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8537