TOURISM MALAYSIA LANCAR PAKEJ EKO-PELANCONGAN NEGERI PERLIS
KANGAR, 7 Disember 2023 - Tourism Malaysia telah melancarkan Pakej Eko-Pelancongan Negeri Perlis sebagai usaha memperkenalkan negeri Perlis sebagai salah satu destinasi eko-pelancongan di Malaysia dan menyemarakkan lagi kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Pelbagai aktiviti yang memberi pengalaman berbeza ditawarkan seperti penerokaan gua, berbasikal, berkayak, menaiki catamaran di tasik, bermandi manda di air terjun, menikmati sarapan di tepi sawah bendang, rock climbing, jungle nightwalk, watching sunrise, stargazing, dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik.
Pakej-pakej eko-pelancongan ini juga mengetengahkan pelbagai tarikan pelancongan di Perlis seperti Wan Kelian Viewpoint, Tasik Timah Tasoh, Air Terjun Bukit Ayer, Bukit Keteri, Gua Kelam, Banjaran Nakawan, Ladang Kenaf, Gua Wang Burma, Gunung Medan, Tasik Melati dan pelbagai lagi tarikan lain yang menarik.
YBhg. Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, pakej ini merupakan inisiatif untuk memperkenalkan aktiviti-aktiviti eko-pelancongan yang terdapat di Perlis kepada para pelancong. Ini juga selari dengan sokongan terhadap pelancongan lestari sejajar dengan pengisytiharaan negeri Perlis yang dijadikan Geopark Kebangsaan dengan nama Perlis Geopark baru-baru ini.
Sebanyak 41 pakej eko-pelancongan Perlis telah dibangunkan oleh lapan (8) pengusaha pelancongan seperti Unic Astana Holidays Sdn Bhd, Smart Leisure Travels Sdn Bhd, CS Yeap Travel & Tours Sdn Bhd, M.Maha-Izah Transport & Tours Sdn Bhd, MLS Holidays Sdn Bhd, Tanjak Adventure Tour Sdn Bhd, Ad-Deeni Travel & Tours Sdn Bhd dan Megalits Travel Sdn Bhd.
Tempahan pakej dan perjalanan boleh dibuat sehingga 31 Disember 2024 dengan sebahagian pakej mempunyai tempoh sah perjalanan sehingga 31 Mac 2025. Bagi menambahkan lagi tarikan, terdapat pakej yang menawarkan potongan sehingga 10 peratus dari harga asal.
Maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh diperoleh menerusi laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel.
TAMAT
Tourism Malaysia
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal.Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, dan TikTok.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Rubiah Tul’Adwiyah Hj. Md. Yusof
Timbalan Pengarah
Bahagian Pembangunan Pakej
intanrubi@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8537
Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755