Dec 14, 2023

TOURISM MALAYSIA LANCAR PAKEJ ARKEOPELANCONGAN & GEOPELANCONGAN PULAU PINANG DAN KEDAH

KEPALA BATAS, 14 Disember 2023 - Tourism Malaysia hari ini melancarkan Pakej Arkeopelancongan & Geopelancongan bagi negeri Pulau Pinang dan Kedah untuk mempromosikan produk pelancongan arkeologi, geologi dan tapak warisan dunia UNESCO.

Sebanyak 52 pakej pelancongan telah dibangunkan dengan kerjasama 14 operator pelancongan di Wilayah Utara dan Wilayah Tengah yang antara lain menawarkan lawatan ke tapak arkeologi Lembah Bujang dan Sungai Batu, tapak warisan dunia UNESCO George Town, Jerai Geopark serta Sungai Merbok.

Antara pakej-pakej yang ditawarkan termasuklah Jerai Geopark Heritage Trail, The Lost Ancient City - Kedah Tua, Archaeology Eco Cycling Experience, Penang Heritage Tour, Merbok River Historical & Mangrove River Cruise, Mount Jerai Guided Tour dan Iron of Ancient Kedah to the World- The Untold Story 788 BC.

Encik Mohd Roslan Abdullah, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia berkata, penawaran pakej tersebut diharap mampu mempromosikan keunikan warisan arkeologi, geopark dan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang terdapat di Pulau Pinang dan Kedah kepada para pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Di samping itu, pembangunan pakej ini juga dapat memangkin ke arah usaha pemeliharaan warisan, sejarah dan budaya tempatan selain mempelbagaikan kegiatan ekonomi dan penglibatan masyarakat setempat, seterusnya menjana pendapatan kepada mereka. Pembangunan pakej pelancongan ini juga adalah sebahagian usaha Tourism Malaysia untuk mempelbagaikan pilihan destinasi pelancongan sebagai persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026” katanya.

Pembangunan Pakej Arkeopelancongan & Geopelancongan Pulau Pinang dan Kedah adalah susulan daripada bengkel dan lawatan produk selama 5 hari 4 malam yang diadakan pada 5 hingga 9 Ogos 2023 dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sungai Petani, Northern Corridor Economic Region (NCER), pakar arkeologi dan geologi, para pemilik produk pelancongan serta penggiat industri pelancongan di Pulau Pinang dan Kedah.

Bengkel berkenaan telah memberikan banyak pendedahan mengenai potensi pelancongan di tapak-tapak arkeologi, geopark dan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town serta produk pelancongan menarik di sekitarnya seperti Tapak Rizab Biosfera UNESCO Bukit Bendera, Muzium Arkeologi Lembah Bujang, tapak arkeologi Sungai Batu, Gunung Jerai dan Kompleks Pelancongan Sungai Merbok.

Kesemua pakej pelancongan ini telah dimuatkan dalam sebuah risalah Pakej Arkeopelancongan & Geopelancongan Pulau Pinang dan Kedah yang kini boleh didapati di laman sesawang Tourism Malaysia iaitu www.malaysia.travel.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal.Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, dan TikTok.


Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Kamilia Hani Abdul Halim
Timbalan Pengarah
Bahagian Pembangunan Pakej
kamilia@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8518

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755









Related Photos

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use