Oct 18, 2022

TOURISM MALAYSIA LANCAR E-RISALAH MINAT KHAS ‘BIRDWATCHING PARADISE MALAYSIA’

TASIK KENYIR, 18 Oktober 2022 - Tourism Malaysia hari ini melancarkan e-risalah minat khas ‘Birdwatching Paradise Malaysia’ bagi mempromosikan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan untuk pencerapan burung sekali gus merancakkan kembali aktiviti pemasaran dan promosi pelancongan dalam segmen tersebut dengan kerjasama Persatuan Ekopelancongan dan Konservasi Malaysia (ECOMY).

Menerusi risalah berkenaan yang boleh diakses di laman sesawang ebrochures.malaysia.travel, penggemar burung bukan sahaja dapat mengetahui lokasi pemerhatian burung malah kepelbagaian spesies hidupan itu yang terdapat di Malaysia. Turut dimuatkan ialah panduan untuk aktiviti pemerhatian burung selain senarai pengendali pelancongan yang menawarkan pakej-pakej pelancongan ‘birdwatching’.

Encik Iskandar Mirza Mohd Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia berkata, penerbitan risalah secara digital itu juga secara tidak langsung memanifestasikan komitmen Tourism Malaysia untuk mengadaptasi dan merealisasi digitalisasi pelancongan.

Di Malaysia, terdapat lebih 873 spesies burung dengan 91 daripadanya merupakan spesies endemic dan near endemic yang direkodkan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Spesies ini adalah unik dan hanya terdapat di sesebuah lokasi geografi.

Selain itu, Malaysia turut memiliki taburan 55 lokasi Important Bird Areas and Biodiversity (IBA) merangkumi kawasan seluas 4,427,526 hektar di seluruh negara yang penting untuk konservasi burung, baik di peringkat nasional, serantau mahupun global seperti digariskan mengikut pengiktirafan kriteria antarabangsa oleh BirdLife International. Antara negeri yang mencatatkan bilangan IBA tertinggi ialah Sarawak, Sabah, Pahang dan Perak.

“Berdasarkan statistik ECOMY, Malaysia merekodkan ketibaan seramai 3,150 pemerhati burung dari dalam dan luar negara dengan purata bilangan hari menginap minimum selama enam hari yang membawa kepada pulangan pendapatan sebanyak RM20.3 juta pada tahun 2019.

“Bersandarkan kepada trend ini, tempoh kadar penginapan ini sebenarnya berpotensi untuk dilanjutkan sehingga 13 ke 14 malam melibatkan lokasi seperti di Sabah dan Sarawak sekali gus berupaya memberikan hasil pulangan yang lumayan kepada negara,” kata Encik Iskandar Mirza.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Rubiah Tul’Adwiyah Haji Md Yusof
Timbalan Pengarah
Bahagian Pembangunan Pakej
intanrubi@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8537

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use