Oct 10, 2019

TOURISM MALAYSIA ANJUR PROGRAM CORPORATE TRAVEL BAZAAR 2019 UNTUK MENGGALAKKAN INDUSTRI PELANCONGAN


KUALA LUMPUR, 10 OCTOBER 2019Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, YB Datuk Mohamaddin bin Ketapi, hari ini telah merasmikan edisi ketujuh Corporate Travel Bazaar 2019 (CTB2019)di Hotel Pullman Bangsar, Kuala Lumpur.Program ini dianjurkan bagi menarik minat sektor-sektor korporat dan awam terhadap pelancongan perniagaandengan meningkatkan kesedaran mengenai pelancongan perniagaan domestik di Malaysia.

Program yang telah diperkenalkanpada tahun 2009 ini melibatkan pertemuan dua hala yang berkonsepkan perniagaan ke perniagaan (B2B) antara para pengusaha pelancongan (sellers) dan para pembeli (buyers) bagi mempromosikan produk pelancongankepada sektor awam dan juga swasta. Penganjuran program Corporate Travel Bazaar ini adalah sejajar dengan misi Tourism Malaysia untuk memberi pendedahan mengenai kepentingan sektor MICE (mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran) di samping merangsang pertumbuhan pelancongan domestik dalam kalangan komuniti perniagaan tempatan.

“Kita ingin menarik minat komuniti perniagaan tempatan untuk menganjurkan acara-acara korporat mereka seperti mesyuarat, seminar, persidangan, program mencari ketenangan, program pembinaan pasukan (team building) dan perjalanan insentif di Malaysia,” jelas Datuk Mohamaddin semasa sidang media di Hotel Pullman Bangsar Kuala Lumpur, hari ini.

Para peserta yang telah dijemput untuk menyertai program ini merupakan para penggiat industri pelancongan dari seluruh Malaysia seperti para pengusaha agensi pelancongan, pengusaha hotel dan resort, penyedia pengangkutan, perunding latihan dan pengusaha produk pelancongan. Manakala para pembeli pula terdiri daripada syarikat-syarikat korporat, agensi kerajaan dan juga persatuan-persatuan di Malaysia.

Datuk Mohamaddinberharap agar CTB2019 akan dapat meningkatkan pergerakan pelancong domestik dalam kalangan syarikat-syarikat korporat dan pelbagai agensi kerajaan di Malaysia. Seperti edisi yang terdahulu, CTB2019 akan membolehkan pengusaha industri pelancongan untuk menawarkan pakej perjalanan insentif, program hari keluarga korporat, program pembinaan pasukan (team building) dan pakej pelancongan perniagaan kepada kerajaan dan syarikat tempatan.

Menurut beliau, CTB2019 telah berjaya mendapatkan penyertaan seramai 120 penjual dan 400 pembeli dengan sasaran nilai keseluruhan penjualan pakej sebanyak RM800,000.

“Pakej-pakej MICE yang dibangunkan oleh para penjualmenawarkan fasiliti yang lengkap, perkhidmatan yang cemerlang dan berkualiti serta lokasi yang strategik yang berhampiran dengan pelbagai tarikan pelancongan,” kata beliau lagi.

Program Corporate Travel Bazaar telah dianjurkan oleh Tourism Malaysia kali terakhir pada tahun 2014 di Pulau Pinang dengan penyertaan sebanyak 70 penjual dan 250 pembeli.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Rahayu binti Ahmad (Puan)
Penolong Pengarah Kanan
Emel : rahayu@tourism.gov.my

Muadz Samat (En.)
Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Emel : muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use