Feb 25, 2023

TOURISM MALAYSIA LANCAR JERAYAWARA JOM CUTI-CUTI MALAYSIA 2023 DAN PAKEJ KHAS “STAYCATION” DI SABAH DAN LABUAN

PETALING JAYA, 25 Februari 2023 – Tourism Malaysia hari ini melancarkan Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia 2023 yang bakal digerakkan ke lapan lokasi di seluruh negara pada tahun ini bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik sekali gus menggalakkan rakyat untuk merancang percutian di dalam negara serta membantu meningkatkan ekonomi penggiat industri tempatan.

Dilancarkan oleh YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya di the Curve Mutiara Damansara, program pameran dan jualan pakej pelancongan tersebut yang berlangsung di pusat beli-belah berkenaan dari 24 hingga 26 Februari ini, turut menyaksikan pelancaran Pakej Khas Penginapan Staycation #IsninKhamisJak Bagi Sabah & Labuan.

Pakej khas tersebut bertujuan membantu pengusaha hotel dan resort di Sabah dan Labuan bagi meningkatkan purata kadar penghuniannya yang rendah pada hari Isnin hingga Khamis menerusi penawaran 16 pakej baharu melibatkan promosi “Beli 2 Malam Percuma 1 Malam” atau “Beli 1 Malam Dapat 1 Malam Pada Potongan 50%”.

Tawaran khas ini terbuka untuk pembelian oleh pelancong domestik dari 24 Februari hingga 15 April 2023 dan tempoh sah penginapan adalah sehingga 31 Disember 2023.

YB Tuan Khairul Firdaus berkata, sebanyak 30 penggiat industri terdiri daripada agensi pelancongan, hotel, produk pelancongan dan taman tema mengambil bahagian dalam siri jerayawara kali ini dengan penawaran lebih 100 pakej pelancongan pada harga diskaun antara 15 hingga 50 peratus.

“Selepas ini, program Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia 2023 akan diteruskan ke tujuh lagi lokasi di seluruh negara. Kita berharap dengan adanya program sebegini, ia akan dapat meningkatkan lagi daya saing industri pelancongan domestik,” katanya.

Tujuh lokasi tersebut ialah AEON Mall Nilai (26-28 Mei 2023), 1 Utama Shopping Centre (9-11 Jun 2023), AEON Mall Kinta City (14-16 Julai 2023), AEON Mall Shah Alam, (25-27 Ogos 2023), Sunway Carnival Mall (29 September - 1 Oktober 2023), Sunway Pyramid (27-29 Oktober 2023) dan AEON Mall Bandaraya Melaka (10-12 November 2023).

Selain daripada pameran dan jualan pakej pelancongan, Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia 2023 turut menyajikan persembahan tarian kebudayaan, demonstrasi kraftangan dan makanan, pertunjukan teh tarik, kuiz pelancongan serta cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir.

TAMAT


Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Maizatul Liza Mukhtar
Penolong Pengarah
Bahagian Domestik & Acara
maizatulliza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8493

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use