Feb 26, 2023

LARIAN SANTAI DAN MAJLIS PELANCARAN LAGU KEMPEN “INILAH MASANYA, CUTI-CUTI MALAYSIA”

PUTRAJAYA, 26 Februari – Sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini terus dimeriahkan dengan acara larian santai dan pelancaran lagu kempen “Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia” anjuran Tourism Malaysia menerusi kerjasama dengan Persatuan Rekreasi Wilayah Malaysia (PRWM). Seramai 5,302 peserta telah mengesahkan penyertaan dalam larian 7 kilometer menggunakan laluan Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Car-Free Morning) bagi kategori individu dan keluarga.

Pelepasan para perserta telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Tiong King Sing. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan I, YB Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Datuk Seri Haji Mahadi bin Che Ngah, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, YBhg. Datuk Hajah Saraya binti Arbi dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Zainuddin bin Abdul Wahab.

YB Dato Sri Tiong King Sing berkata, tagline “Inilah Masanya” memanifestasikan satu seruan kepada rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan kepada industri pelancongan domestik yang menjadi penampan untuk terus berdaya tahan tatkala berdepan krisis pandemik COVID-19.

“Selain berlari santai sambil menghirup udara segar, program ini secara tidak langsung dapat mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong menerusi aktiviti sukan, rekreasi, seni dan kebudayaan,” kata YB Dato Sri Tiong King Sing.

YB Dato Sri Tiong King Sing turut sama melancarkan lagu kempen “Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia” yang berjudul “Masanya Telah Tiba”. Lagu kempen ini didendangkan buat kali pertama secara langsung oleh penyanyi Nik Qistina, hasil gubahan komposer Ananth Kumar dan lirik oleh James Boyle.

Kempen “Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia” memfokuskan kepada segmen keluarga dan millennials dengan mengetengahkan tema produk dan destinasi pelancongan berteraskan family fun, eko pelancongan dan kembara, pulau dan pantai, segmen beli-belah serta budaya dan warisan.

“Melalui kempen ini, diharapkan lebih ramai rakyat Malaysia melakukan pergerakan melancong merentasi pelbagai negeri sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat,” jelas YB Dato Sri Tiong King Sing.

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan juga diserikan dengan program Pameran Santai @ Kuala Lumpur ‘’Me & Mycity’’ di Dataran Merdeka yang menawarkan penjualan pakej pelancongan menarik. Antara pempamer yang menyertai astaka Tourism Malaysia kali ini ialah Menara Kuala Lumpur, Persatuan Spa Malaysia (AMSPA), C’woks Design (Batik Tulis), Premiera Hotels & Resort dan Farhan Travel & Tours.

Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung seperti demonstrasi batik dan terapi spa yang turut ditawarkan oleh penggiat industri.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Salinda Sany
Timbalan Pengarah
Bahagian Pengiklanan & Digital
salinda@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8703

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos
MALAYSIA TOURISM PROMOTION BOARD (MTPB) HEAD OFFICE
9th Floor, No. 2, Tower 1,
Jalan P5/6, Presint 5, 62200, Putrajaya, Malaysia
Phone: +603-8891 8000
Email: enquiries@tourism.gov.my
TOURISM INFO LINE
1300 88 5050
Working days from 9.00am to 5.00pm

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use