Oct 7, 2013

TERENGGANU DESTINASI KETIGA HARIAN METRO MOUNTAIN BIKE GRAND PRIX 2013 CC1M

MARANG, 5 OKT 2013: Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan Harian Metro untuk menganjurkan program Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013 Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) di lima buah lokasi bagi merancakkan aktiviti berbasikal di Malaysia sekaligus meningkatkan promosi pelancongan berbasikal di Malaysia.

Objektif program ini bukan sahaja untuk membentuk ‘trend’ sukan “mountain bike” di kalangan rakyat Malaysia tetapi juga mempromosikan sukan tersebut sebagai sebahagian daripada inisiatif pelancongan sukan berbasikal.

Siri jelajah ketiga Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013 CC1M ini telah berlangsung dari        4 hingga 5 Oktober 2013 di Marang, Terengganu.

Pemilihan Marang sebagai lokasi jelajah ketiga bagi acara ini adalah bertepatan sekali kerana 2013 merupakan Tahun Melawat Terengganu. Keindahan Pantai Marang dan Pantai Kelulut dan Lagun Marang merupakan antara tarikan utama yang terdapat di daerah tersebut malah Jeti Marang merupakan laluan keluar ke Pulau Kapas yang sering menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.


Bagi Tahun Melawat Terengganu 2013, Kerajaan Negeri telah mensasarkan kedatangan seramai empat juta pelancong.  Sebelum ini, Terengganu pernah menganjurkan kempen Tahun Melawat

Terengganu pada tahun 1997 dan 2008.  Pelbagai destinasi dan produk pelancongan yang menarik dan unik boleh didapati di Terengganu. Antaranya ialah tarikan kincir angin di Pulau Perhentian selain keindahan dasar lautnya, Taman Tamadun Islam, Masjid Kristal, Muzium Negeri, Pulau Warisan, Tasik Kenyir, Rantau Abang, Air Terjun Cemerung dan pulau-pulau pelancongan yang terkenal seperti Pulau Redang dan Pulau Tenggol.

Sehingga Jun 2013, kedatangan pelancong ke Terengganu adalah seramai 1,802,849 orang.
Siri jelajah Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013 CC1M yang seterusnya akan dianjurkan di Legoland, Nusajaya pada 26 hingga 27 Oktober dan lokasi terakhir dijangka akan diadakan di Kuala Kangsar, Perak  pada 23 dan 24 November akan datang.

Siri jelajah pertama dan kedua Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013 CC1M telah diadakan di Presint 15, Putrajaya pada 2 Jun 2013 dan Kellie’s Castle, Perak pada 25 Ogos 2013 yang lalu. Siri jelajah pertama telah berjaya menarik penyertaan seramai 1,500 peserta manakala  pada siri jelajah kedua pula melibatkan seramai 1,600 peserta tempatan dan pelbagai negara ASEAN.

Pakej pelancongan berbasikal telah diperkenalkan di Malaysia oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Tourism Malaysia pada penghujung tahun 2011 di Putrajaya. Pakej “Discover Putrajaya Cycling Packages” merupakan pakej pelancongan berbasikal yang pertama sekali diperkenalkan oleh Tourism Malaysia dan telah dilancarkan oleh mantan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, YB Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen pada 17 Disember 2011.

Selain itu, Tourism Malaysia juga telah melancarkan pakej berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia  sempena Kayuhan Sihat CC1M di Raub pada 1 April 2012.

Bagi merancakkan lagi aktiviti berbasikal di negara ini, Tourism Malaysia juga telah menganjurkan pelbagai program berbasikal sepanjang tahun 2012 dan awal 2013 seperti Cuti-Cuti 1Malaysia Sunday Bike Ride @ Raub, Kayuhan Merdeka di Raub, Kayuhan Sihat dan MTB Fun Ride @ Melaka,Kayuhan Sihat @ Tersang dan Le Tour de Homestay Selangor.

Setakat ini, sebanyak 202 pakej pelancongan berbasikal telah dibangunkan dengan kerjasama 95 buah agensi pelancongan tempatan.

Antara pakej-pakej pelancongan berbasikal yang telah dibangunkan termasuklah CC1M Bike Ride Georgetown Bicycle & Trishaw Packages, CC1M Sabah Bike Ride - Bah Let’s Go Cycling, CC1M Bike Ride Kuching, Special Cycling Packages@Raub, CC1M Nature Ride Hulu Selangor, CC1M Terengganu Bike Ride, CC1M Perak Bike Ride – Discover Perak Cycling Package, CC1M Putrajaya Bike Ride Packages featuring Paya Indah Wetlands, CC1M Johor Bike Ride, Pakej Berbasikal Kedah
Darul Aman 2013, Melaka Cycling Packages 2013/2014, Pakej Berbasikal Perlis 2013, Pakej Istimewa Tersang dan Pakej Berbasikal Kelantan.

Sepanjang tahun 2012, sebanyak 4,982 buah pakej pelancongan berbasikal telah terjual di seluruh negara dengan jumlah jualan sebanyak RM581,190.

Sementara itu, sebanyak 4,345 buah pakej pelancongan berbasikal bernilai RM702,301 telah berjaya dijual di seluruh negara dari Januari hingga September 2013.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Siti Syazalena Amir Sharifuddin, Penolong Pengarah, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di 03-8891 8423 atau emel sitisyazalena@tourism.gov.my.


TAMAT

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA
ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2012, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM60.6 bilion sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan ke-10 paling popular di dunia

Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.            

Hubungi:
Unit Perhubungan Media:

Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: razaidi@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use