SEKTOR PELANCONGAN MENYUMBANG SEBANYAK RM86.14 BILION KEPADA EKONOMI MALAYSIA DENGAN KETIBAAN 26.1 JUTA PELANCONG PADA TAHUN 2019
PUTRAJAYA, 10 APRIL 2020: Malaysia mencatatkan ketibaan 26,100,784 pelancong antarabangsa ke negara ini yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion sepanjang tahun 2019.
Pertumbuhan kecil sebanyak 1.0% dari segi kehadiran pelancong itu sekali gus menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan pelancongan sebanyak 2.4% berbanding tahun 2018. Pada masa sama, prestasi pelancongan negara juga mencatatkan pertumbuhan dari segi perbelanjaan per kapita yang meningkat sebanyak 1.3% kepada RM3,300 manakala Purata Tempoh Tinggal (ALOS) naik sebanyak +0.9 malam kepada 7.4 malam.
Sepuluh negara yang mencatatkan bilangan ketibaan pelancong antarabangsa tertinggi ke negara ini pada tahun 2019 ialah Singapura (10,163,882), Indonesia (3,623,277), China (3,114,257), Thailand (1,884,306), Brunei (1,216,123), India (735,309), Korea Selatan (673,065), Jepun (424,694), Filipina (421,908) dan Vietnam (400,346).
Pertumbuhan ketibaan pelancong disumbang oleh pasaran Asia Selatan (+22.2%), Asia Timur (+5.9%), Amerika (+4.3%) dan Eropah (+0.3%) manakala penurunan direkodkan bagi pasaran ASEAN (-1.3%) and Asia Barat (-2.1%).
Dari segi keseluruhan perbelanjaan pelancong, penyumbang terbesar kekal dari pasaran ASEAN dengan sejumlah RM43.72 bilion. Dalam pada itu, pelancong Asia Barat merekodkan perbelanjaan per kapita tertinggi sebanyak RM10,214 iaitu peningkatan sebanyak 2.7 peratus berbanding RM9,947 pada tahun 2018.
Tiga komponen utama pengagihan perbelanjaan pelancongan tertinggi adalah melibatkan aktiviti beli-belah (33.6%), penginapan (24%) serta makanan dan minuman (13.3%). Sekali lagi, perbelanjaan aktiviti beli-belah melebihi perbelanjaan penginapan dengan peningkatan dari 33.4% pada tahun 2018 kepada 33.6% pada tahun 2019.
Sementara itu, pasaran yang menunjukkan peningkatan ALOS pula ialah Asia Barat (9.8 malam), Eropah (8.8 malam), Amerika (8.2 malam), Asia Barat (6.5 malam), Asia Selatan (6.4 malam) dan ASEAN (4.9 malam).
TAMAT
Untuk maklumat lanjut mengenai siaran media mahupun maklumat mengenai industri pelancongan Malaysia, boleh melayari laman sesawang Pusat Media Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA atau TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa.
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Pertanyaan statistik:
Masrina Mohd Bakri
Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan Strategik
Emel: masrina@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8163
Pertanyaan media:
Muadz Samat
Penolong Pengarah,
Bahagian Komunikasi Korporat
Emel: muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755