Jan 8, 2009

PROGRAM SAHABAT ZOOM! MALAYSIA

Program Sahabat ZOOM! Malaysia adalah satu usaha sama antara Tourism Malaysia dengan pihak Karangkraf melalui majalah LIBUR. Objektif utama program ini ialah untuk memupuk budaya bercuti di dalam negara sendiri di kalangan rakyat Malaysia. Program yang diadakan bersempena dengan kempen promosi pelancongan domestik ZOOM! Malaysia ini juga secara tidak langsung dapat memupuk semangat cintakan Malaysia.

Sasaran utama peserta program Sahabat ZOOM! Malaysia ini ialah komuniti pembaca LIBUR yang berminat untuk melancong ke destinasi pelancongan domestik. Seramai 10 orang pembaca LIBUR akan dipilih setiap bulan berdasarkan slogan yang terbaik. Borang penyertaan akan disiarkan di majalah LIBUR bermula dari bulan Januari 2009 hingga Disember 2009.

Program 3 hari 2 malam ini juga melibatkan penyertaan daripada wakil agensi pelancongan, media cetak dan media elektronik tempatan. Setiap bulan, kumpulan Sahabat ZOOM! Malaysia ini akan dibawa meneroka destinasi pelancongan di Malaysia. Pemilihan destinasi-destinasi pelancongan tersebut adalah menjurus kepada keindahan alam semula jadi.

Liputan khas program ini juga akan disiarkan sebanyak enam muka surat di majalah LIBUR pada setiap bulan.
 
INFO MAJALAH LIBUR

Majalah LIBUR merupakan satu-satunya majalah berkonsepkan pengembaraan dan percutian berbahasa Malaysia. Maklumat pengembaraan dipaparkan dengan konsep yang praktikal dan mesra pembaca. Ia juga mengandungi pelbagai topik yang menjadi persoalan para pengembara.
Majalah percutian ini menggunakan "riang & selesa" sebagai motonya dan diterbitkan sejak tahun 2002.

CADANGAN DESTINASI PROGRAM
1) Desaru , Johor  ( 16-18 Januari 2009)
2) Kuala Sepetang/ Taiping , Perak ( 13-15 Februari 2009)
3) Rimba Kenong / Kuala Medang , Pahang (13-15 Mac 2009)
4) Kilim Geoforest Park,  Langkawi, Kedah (17-19 April 2009)
5) Gua Kelam 2,  Perlis (15-17 Mei 2009) 
6) Gua Musang / Kg Pantai Suri ,  Kelantan (19-21 Jun 2009)
7) Tasik Kenyir, Terengganu (17-19 Julai 2009)
8) Bandar Hilir , Melaka (13-15 Ogos 2009)
9) Port Dickson /  Homestay Pelegong , Negeri Sembilan (25-27 Sept 2009)
10) Pulau Jerejak, Pulau Pinang (16-18 Oktober 2009)
11) Kuala Selangor, Selangor (20-22 November 2009)
12) Putrajaya ATAU Sandakan , Sabah (11-13 Disember 2009)

* Tarikh/ tempat tertakluk kepada pindaan semasa

ZOOM! MALAYSIA:
Kempen ZOOM! Malaysia telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri pada 14 Mei 2008 bagi memperkenalkan destinasi pelancongan secara lebih fokus.

Setakat ini, kempen ZOOM! Malaysia telah dilancarkan di pelbagai destinasi di Malaysia seperti Desaru di Johor, Pusat Perlindungan Gajah Kuala Gandah dan Cameron Highlands di Pahang, Muzium Tentera Darat Negeri Sembilan, Tapak Warisan Dunia di Pulau Pinang dan Rainforest Discovery Centre di Sandakan, Sabah.

Ia merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi pertumbuhan industri pelancongan domestik. Di samping menggalakkan integrasi nasional, kempen tersebut menggalakkan aktiviti percutian dalam negara sendiri secara terancang di kalangan rakyat Malaysia. Kempen ini juga dapat mengeratkan kerjasama di antara ahli-ahli sektor awam dan swasta dalam mempromosi produk dan tarikan pelancongan serta acara-acara khas.

Penekanan terhadap pelancongan domestik ini juga bertujuan untuk mengurangkan aktiviti pelancongan rakyat Malaysia ke destinasi lain dan pada masa yang sama, ia dapat mengurangkan pengaliran wang keluar negara.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik dan Singapura, Tourism Malaysia, Tel: 03-2615 8521 / 03-26158188; Faks: 03-26935406 atau Emel: enq-domesticpromotion@tourism.gov.my.

Dikeluarkan oleh: Bahagian Komunikasi dan Publisiti, Tourism Malaysia
Tarikh: 08 Januari 2009
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pn. Mazita Johari di talian 03-2615 8188
atau emel: mazita@tourism.gov.my
Laman Web: www.tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use