Jan 8, 2009

MAJLIS PELANCARAN ZOOM! HOMESTAY TERENGGANU

YB Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said, Menteri Pelancongan Malaysia merasmikan ZOOM! Homestay Terengganu pada 5 Januari 2009 di Homestay Kampung Teluk Ketapang, Kuala Terengganu, Terengganu. Majlis pelancaran tersebut turut disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Ahmad Said.

Penganjuran majlis ini bertujuan memberi fokus kepada program homestay atau pelancongan inap desa sebagai salah satu produk pelancongan terpilih di Terengganu. Sesungguhnya, program tersebut amat dititikberat oleh Kementerian Pelancongan kerana ia selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai warga desa bergiat dalam industri pelancongan.

Di samping itu, program homestay juga amat berkesan untuk pelancong asing mengenali budaya masyarakat tempatan dengan lebih dekat lagi. Malah, ia juga mampu mewujudkan proses silang budaya yang membolehkan kedua-dua belah pihak mempelajari budaya masing-masing.
 
YB Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said juga akan melancarkan laman web Homestay Terengganu yang dibangunkan untuk menyebar maklumat mengenai homestay di Terengganu ke seluruh dunia.
 
Acara ZOOM! Homestay Terengganu ini merupakan satu lagi acara susulan daripada kempen ZOOM! Malaysia yang dilancarkan pada 14 Mei 2008. Penganjuran acara ini adalah selaras dengan tujuan kerajaan untuk merangsang pertumbuhan pelancongan domestik dan seterusnya menanam budaya melancong di dalam negeri di kalangan rakyat Malaysia.

ZOOM! MALAYSIA:
Kempen ZOOM! Malaysia telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri pada 14 Mei 2008 bagi memperkenalkan destinasi pelancongan secara lebih fokus.

Setakat ini, kempen ZOOM! Malaysia telah dilancarkan di pelbagai destinasi di Malaysia seperti Desaru di Johor, Pusat Perlindungan Gajah Kuala Gandah dan Cameron Highlands di Pahang, Muzium Tentera Darat Negeri Sembilan, Tapak Warisan Dunia di Pulau Pinang dan Rainforest Discovery Centre di Sandakan, Sabah.

Ia merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi pertumbuhan industri pelancongan domestik. Di samping menggalakkan integrasi nasional, kempen tersebut menggalakkan aktiviti percutian dalam negara sendiri secara terancang di kalangan rakyat Malaysia. Kempen ini juga dapat mengeratkan kerjasama di antara ahli-ahli sektor awam dan swasta dalam mempromosi produk dan tarikan pelancongan serta acara-acara khas.

Penekanan terhadap pelancongan domestik ini juga bertujuan untuk mengurangkan aktiviti pelancongan rakyat Malaysia ke luar negara. Ia akan mengimbangi pengaliran wang keluar negara dan mengurangkan kesan kemelesatan ekonomi global.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Pengarah Bahagian Promosi Domestik dan Singapura, Tourism Malaysia, Tel: 03-2615 8521 / 03-26158188; Faks: 03-26935406 atau Emel: enq-domesticpromotion@tourism.gov.my.

Dikeluarkan oleh: Bahagian Komunikasi dan Publisiti, Tourism Malaysia
Tarikh: 05 Januari 2009
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pn. Mazita Johari di talian 03-2615 8188
atau emel: mazita@tourism.gov.my
Laman Web: www.tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use