Oct 16, 2015

PERLIS “DEKAT JE” BERSAMA ETS (KTMB)

KANGAR, 16 Oktober 2015 – EXCO Belia & Sukan, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Negeri Perlis YB Tuan Abdul Jamil Saad telah melancarkan pakej-pakej pelancongan ‘Dekat Je Bersama ETS’ pada majlis perasmian Taklimat Perlis Dekat Ja bersama Media dan Penggiat Industri Pelancongan di Hotel Seri Malaysia, di sini hari ini.

Turut hadir untuk menyaksikan pelancaran tersebut ialah Ketua Pengarah Tourism Malaysia Dato’ Mirza Mohammad Taiyab, Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Lt. Kol (B) Hj Sarbini Tijan, Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Zalizam Zakaria, Pengarah Tourism Malaysia Kuala Lumpur Azmi Abdullah, dan Pengarah Tourism Malaysia Perlis Razaidi Abd. Rahim.

Pakej-pakej pelancongan Dekat Je Bersama ETS itu telah dibangunkan dengan kerjasama agensi-agensi pelancongan dari Perlis, Kuala Lumpur dan Selangor. Antara pakej menarik yang ditawarkan ialah Pakej 1 ETS: Explore KL & Putrajaya Tours (3 hari 2 malam dari RM620 seorang), Langkawi + Perlis Dekat JA (3 hari 2 malam dari RM289 seorang) dan pelbagai lagi pilihan pakej yang bersesuaian dengan minat dan citarasa pelancong.

YB Abdul Jamil dalam ucapannya berkata bahawa beliau amat bersetuju dan menyukai konsep ‘Dekat Je’ yang telah diperkenalkan oleh Tourism Malaysia.

“Konsep ‘Dekat Je’ ini menjadikan kita berasa lebih dekat dan lebih peka lagi terhadap destinasi-destinasi pelancongan yang berada di sekeliling kita dan saya yakin Perlis mampu menggunakan konsep ini untuk menarik minat rakyat negeri ini khususnya dan rakyat Malaysia amnya untuk menerokai negeri terkecil di Malaysia ini,” sambung beliau lagi.

Menurut beliau, perkhidmatan ETS yang telah diperkenalkan oleh KTMB juga akan dapat membantu meningkatkan ketibaan pelancong ke Perlis.

LAWATAN SUAI KENAL KE PERLIS DAN TAKLIMAT PERLIS DEKAT JA BERSAMA MEDIA DAN PENGGIAT INDUSTRI PELANCONGAN

Tourism Malaysia dengan usahasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menganjurkan satu lawatan suai kenal ke negeri Perlis dan Taklimat Perlis DEKAT JA untuk para penggiat industri pelancongan dan media dari Kuala Lumpur, Selangor dan Perlis berserta ejen-ejen pelancongan dari Wilayah Satun, Thailand pada 14 hingga 16 Oktober 2015.

Objektif utama pelaksanaan program ini ialah untuk memberi peluang kepada para media dan penggiat industri pelancongan untuk meneroka produk-produk pelancongan yang terdapat di Perlis ini selain mengadakan platform untuk para penggiat industri pelancongan di negeri ini membina jalinan hubungan dan perniagaan dengan rakan-rakan seindustri mereka dari negeri lain.

Seramai lapan wakil agensi pelancongan, 10 wakil media massa dan media sosial, dua wakil persatuan pelancongan dan dua pengusaha produk pelancongan dari Kuala Lumpur dan Selangor telah menyertai lawatan suai kenal tersebut dengan menaiki kereta api elektronik (ETS) bagi laluan Kuala Lumpur – Padang Besar untuk merasai sendiri pengalaman menaiki perkhidmatan tersebut.

Mereka telah dibawa melawat Kompleks ICQ Padang Besar dan Arked Niaga Padang Besar, selain mengunjungi pelbagai destinasi pelancongan di Perlis seperti Gua Kelam, Dataran Terinai, Taman Ular & Reptilia, Taman Rimba Herba dan sebagainya.

Pada hari ini, satu majlis taklimat dan sesi B2B telah diadakan melibatkan para penggiat industri pelancongan dari Kuala Lumpur dan Selangor sebagai pembeli manakala 18 peserta yang terdiri daripada agensi kerajaan dan pengusaha produk pelancongan, dua pengusaha inap desa dan enam agensi pelancongan dari Perlis serta lima agensi pelancongan dari Wilayah Satun, Thailand bertindak sebagai penjual.

Dato’ Mirza berharap agar program-program yang buat julung-julung kalinya diadakan ini akan dapat membantu meningkatkan profil pelancongan di Perlis dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Menurut beliau, Tourism Malaysia akan terus memberikan sokongan bagi mempromosikan Perlis DEKAT JE sebagai salah satu destinasi pelancongan negara melalui acara-acara tahunan seperti Pesta Angin Timur, Perlis Marathon, Pesta Air Tradisional dan sebagainya.

“Pihak Tourism Malaysia akan meletakkan Perlis sebagai salah satu destinasi untuk peserta-peserta program Lawatan Mega Familiarisation Malaysia yang dikhaskan untuk media dan agensi pelancongan antarabangsa pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Tourism Malaysia, jumlah penginap hotel di Perlis sehingga September 2014 pula adalah seramai 175,144 orang berbanding 169,789 orang pada 2013, meningkat sebanyak 3.1%.


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

En. Razaidi Abd. Rahim
Pengarah Tourism Malaysia Perlis
HP: 016 207 7482
Emel: razaidi@tourism.gov.my


Cik Mazlina Ahmad
Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Perlis
HP: 019 470 7400
Emel: mazlina@tourism.gov.my


TAMAT

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2014, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 27.4 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancong sebanyak RM72 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing.

Malaysia telah menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Promosi negara diteruskan dengan penganjuran Tahun Festival Malaysia (MyFest) pada 2015 dengan tema “Endless Celebrations” yang menekankan kepada pelbagai festival yang disambut oleh masyarakat yang berbilang bangsa. Kedua-dua kempen ini menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020, berdasarkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.


Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Cik Chresentia F.B. Sadatal, Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8776
Emel: chresentia@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use