Nov 25, 2019

PENGGIAT INDUSTRI PELANCONGAN PERAK DAN PULAU PINANG BERSEDIA UNTUK MENYAMBUT PELANCONG SEMPENA MELAWAT MALAYSIA 2020

GEORGE TOWN, 21 NOVEMBER 2019: Negeri Perak dan Pulau Pinang mempunyai daya tarikan tersendiri yang dapat menarik tumpuan pelancong domestik serta luar negara bagi menjayakan kempen Melawat Malaysia 2020.

Ini dinyatakan oleh Datuk Musa Haji Yusof, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, pada sesi Visit Malaysia 2020 Kick Off Conference (Perak dan Pulau Pinang) di Hotel Berjaya Pulau Pinang anjuran Tourism Malaysia untuk merancakkan lagi promosi bagi kempen Melawat Malaysia 2020 di wilayah utara negara.

Beliau berkata, “Negeri Perak dan Pulau Pinang merupakan destinasi penting negara yang menawarkan kepelbagaian produk pelancongan. Malah, negeri Pulau Pinang juga akan menyambut tahun melawat Pulau Pinang dengan tagline #experiencepenangyear2020.”

Tambah beliau, “Negeri Pulau Pinang mempunyai kemudahsampaian yang baik samada melalui darat, laut, udara serta rel. Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menerima penerbangan terus dari China, Taiwan, Hong Kong, Vietnam, Doha, Singapore, Indonesia dan Vietnam.”

Negeri Perak juga telah menerima penerbangan terus daripada Singapura dan juga akan menerima penerbangan carter dari Guangzhou-SCANDA SKY. Penerbangan baharu Subang-Ipoh SKS Airways juga akan diperkenalkan dengan kekerapan 2 kali sehari, manakala penerbangan Subang-Pangkor pula adalah dengan kekerapan sehari sekali.

Datuk Musa berpendapat bahawa status Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai bermula 1 Januari 2020 ini juga adalah suatu tarikan baharu bagi pelancong ke pulau itu. Perak juga telah melantik Michael Wong sebagai duta untuk menarik pelancong dari pasaran negeri China dan Taiwan ke Perak.

Beliau berkata, “Marilah kita semua menyahut saranan Perdana Menteri kita untuk menjadikan kempen Melawat Malaysia 2020 ini sebagai sebuah misi nasional, bagi memastikan kejayaannya.”

LATARBELAKANG PROGRAM VISIT MALAYSIA 2020 KICK OFF CONFERENCE

Program Visit Malaysia 2020 Kick Off Conference ini adalah perjumpaan khas antara Tourism Malaysia dan penggiat industri pelancongan negara, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta wakil badan bukan kerajaan. Ia bertujuan untuk mendapatkan sokongan penggiat industri pelancongan terhadap kempen Melawat Malaysia 2020.

Ia juga bertujuan untuk menyampaikan dan berkongsi maklumat berhubung kempen Melawat Malaysia 2020, prestasi industri pelancongan negara bagi setengah tahun pertama 2019 serta kemudahan dan insentif yang ditawarkan oleh Tourism Malaysia dalam membantu aktiviti promosi dan pemasaran pelancongan Malaysia.

Di samping itu, wakil dari setiap negeri juga diberi peluang untuk membentangkan pelan pemasaran pelancongan masing-masing yang akan dijalankan pada tahun hadapan.

Beberapa pengusaha produk tempatan juga turut mengambil bahagian dalam pameran pelancongan bagi mengenengahkan keunikan produk pelancongan masing masing di samping mencari pasaran baru.

Tahun 2020 telah ditetapkan sebagai tahun untuk kempen Melawat Malaysia 2020 dengan sasaran untuk mencapai ketibaan pelancong antarabangsa seramai 30 juta dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM100 bilion dengan memberi fokus kepada kelestarian pelancongan, seni dan kebudayaan.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Unit Media

Encik Muadz Samat, Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8755
Emel: muadz@tourism.gov.my

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use