Nov 25, 2019

KEDAH DAN PERLIS MAMPU MENARIK PERHATIAN PELANCONG UNTUK KEMPEN MELAWAT MALAYSIA 2020

LANGKAWI, 20 NOVEMBER 2019: Tourism Malaysia telah menganjurkan program Visit Malaysia 2020 Kick Off Conference (Kedah dan Perlis) untuk merancakkan lagi promosi bagi kempen Melawat Malaysia 2020 di wilayah utara negara.

Pada majlis pelancaran program tersebut di Hotel Bayview Langkawi hari ini, YBhg. Datuk Musa Haji Yusof, Ketua Pengarah, Tourism Malaysia, berkata bahawa beliau yakin Kedah dan Perlis mampu untuk menarik pelancong domestik dan asing dengan kepelbagaian tarikan pelancong dan infrastruktur yang sedia ada di negeri-negeri itu.

Menyentuh mengenai connectivity atau kemudahsampaian ke negeri Kedah dan Perlis, beliau berkata, “Kedua-dua negeri ini mempunyai kemudahsampaian (connectivity) yang baik samada melalui darat, laut, udara serta rel. Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi menerima penerbangan terus dari China, Asia Barat, Singapura serta Thailand, khasnya Phuket.”

Tambah beliau, “Bersempena kempen Melawat Malaysia 2020, Kerajaan telah melaksanakan beberapa penambahbaikan kepada kemudahan Imigresen bagi memudahkan kemasukan pelancong tanpa mengabaikan faktor keselamatan. Kementerian Dalam Negeri telah memperluaskan kemudahan Visa on Arrival ke enam pintu masuk tambahan yang mana antaranya di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan ICQS Bukit Kayu Hitam.”

Datuk Musa Haji Yusof berkata, “Marilah kita semua menyahut saranan Perdana Menteri kita untuk menjadikan kempen Melawat Malaysia 2020 ini sebagai sebuah misi nasional, bagi memastikan kejayaannya.”

LATARBELAKANG PROGRAM VISIT MALAYSIA 2020 KICK OFF CONFERENCE

Program Visit Malaysia 2020 Kick Off Conference ini adalah perjumpaan khas antara Tourism Malaysia dan penggiat industri pelancongan negara, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta wakil badan bukan kerajaan. Ia bertujuan untuk mendapatkan sokongan penggiat industri pelancongan terhadap kempen Melawat Malaysia 2020.

Ia juga bertujuan untuk menyampaikan dan berkongsi maklumat berhubung kempen Melawat Malaysia 2020, prestasi industri pelancongan negara bagi setengah tahun pertama 2019 serta kemudahan dan insentif yang ditawarkan oleh Tourism Malaysia dalam membantu aktiviti promosi dan pemasaran pelancongan Malaysia.

Di samping itu, wakil dari setiap negeri juga diberi peluang untuk membentangkan pelan pemasaran pelancongan masing-masing yang akan dijalankan pada tahun hadapan.

Beberapa pengusaha produk tempatan juga turut mengambil bahagian dalam pameran pelancongan bagi mengenengahkan keunikan produk pelancongan masing masing di samping mencari pasaran baru.

Tahun 2020 telah ditetapkan sebagai tahun untuk kempen Melawat Malaysia 2020 dengan sasaran untuk mencapai ketibaan pelancong antarabangsa seramai 30 juta dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM100 bilion dengan memberi fokus kepada kelestarian pelancongan, seni dan kebudayaan.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Unit Media

Encik Muadz Samat, Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8755
Emel: muadz@tourism.gov.my

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use