Sep 29, 2012

PENDUDUK RAUB RANCAKKAN FESTIVAL PELANCONGAN SENI KONTEMPORARI 1MALAYSIA

RAUB, PAHANG, 29 SEPTEMBER 2012: Para penduduk Raub telah disajikan dengan pelbagai aktiviti seni yang kreatif dan menarik sempena Festival Pelancongan Seni Kontemporari peringkat negeri yang telah dilancarkan oleh Menteri Pelancongan, YB Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen di Stadium Bola Keranjang MCA, di sini, hari ini.

Acara seni yang berlangsung selama dua hari ini dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Pelukis SeMalaysia (GAPS) dan Tourism Malaysia dengan sokongan Jabatan Pelajaran Pahang.

Pelbagai aktiviti seni yang menarik telah diadakan termasuklah pertandingan melukis, “action painting”, melukis grafiti dan sesi “Art Talk” yang disampaikan oleh wakil GAPS. 

Seramai 300 orang pelajar sekolah rendah dan menengah yang menyertai pertandingan melukis tersebut turut menerima panduan daripada 20 orang karyawan seni visual yang berbakat daripada Gabungan Persatuan Pelukis SeMalaysia.   

Program pementoran tersebut membolehkan para karyawan seni yang terlibat memberi nasihat dan panduan kepada para peserta agar mereka dapat meningkatkan kualiti karya yang dihasilkan di samping menambahkan pengetahuan dan apresiasi mereka terhadap bidang seni untuk jangka panjang.

Para pengunjung turut berpeluang menyaksikan “action painting” iaitu percubaan secara langsung empat artis, Suzlee Ibrahim, Mohd Faizal Md Suhif, Jamil Zakaria dan Mohd Khairudin Zainudin untuk menyiapkan beberapa buah lukisan bertemakan Ceria/Festival hanya dalam masa satu jam.

Selain itu, sekumpulan 20 artis akan menghasilkan seni grafiti “I Love Raub” di dinding yang terletak di luar stadium tersebut manakala wakil-wakil GAPS akan berkongsi pengalaman mereka sebagai karyawan seni dan memberi penerangan mengenai seni di Malaysia pada sesi “Art Talk”.

LATAR BELAKANG FESTIVAL PELANCONGAN SENI KONTEMPORARI 1MALAYSIA (1MCAT)

Festival Pelancongan Seni Kontemporari 1Malaysia (1MCAT) yang berlangsung buat kali ketiga berturut-turut telah dimulakan pada tahun 2010 bagi mempelbagaikan lagi produk pelancongan dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi yang
mempunyai reputasi yang baik bagi penggemar seni di rantau ini serta menikmati dan memperoleh seni kontemporari dengan bahan berkualiti muzium; sesuai dengan tema Kementerian Pelancongan - “Malaysia Destinasi Pelancongan Baru Anda”.

Acara-acara seni yang telah dianjurkan di seluruh negara dari bulan Julai hinga September ini merupakan pentas bagi mempromosikan artis-artis dan karya-karya seni tempatan di persada antarabangsa dan untuk menyerlahkan bakat artis-artis muda yang sedang meningkat naik.

Pada tahun 2010, program 1MCAT yang pertama telah mencatatkan jumlah pengunjung seramai 42,000 orang dengan jumlah jualan sebanyak RM14 juta untuk sepanjang tiga bulan festival tersebut berlangsung iaitu dari bulan Julai hingga September. Kejayaan lelongan hasil seni oleh Henry Butcher Art Auction yang pertama di Malaysia sebanyak RM1.7 juta turut menyaksikan sebanyak 90 peratus hasil karya seni telah terjual hanya dalam sehari membuktikan bahawa pelancongan seni kontemporari berpotensi untuk menjadi produk pelancongan yang berjaya.

Pada tahun 2012, lelongan hasil seni oleh Henry Butcher Art Auction telah mencatatkan peningkatan jualan yang memberangsangkan iaitu sebanyak RM4.1 juta berbanding pada tahun lepas yang mencatatkan jualan bernilai RM3 juta. Ini membuktikan bahawa bukan sahaja minat dalam mengumpul hasil karya seni tempatan telah berkembang di Malaysia tetapi pasaran seni kontemporari untuk karya seni tempatan juga telah meningkat.  

Festival 1MCAT pada tahun ini menyaksikan pelbagai aktiviti seni telah dianjurkan di Langkawi, Pahang, Pulau  Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Perasmian Galeri Seni Kementerian Pelancongan (MOTOUR Art Gallery) di Precinct 5, Putrajaya oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Haji Mohd Yassin pada 13 September 2012 merupakan kemuncak kepada festival 1MCAT pada tahun ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai 1MCAT, sila hubungi Encik Ramzi Abu Yazid, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengiklanan, Tourism Malaysia di 03 – 8891 8702 atau emel ramziabuyazid@tourism.gov.my

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use