PELANCARAN PAKEJ 'CC1M SABAH BIKE RIDE - BAH, LET'S GO CYCLING & KK HERITAGE WITH TRISHAW TOURS'
YB Datuk Bolkiah Haji Ismail, Pembantu Menteri, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar telah melancarkan pakej berbasikal tersebut di Dataran Bandaraya, Kota Kinabalu di sini hari ini bersempena dengan acara "Tour of Borneo 2012". Majlis diadakan oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.
Sempena majlis pelancaran tersebut, satu acara berbasikal dan berbeca diadakan di sekitar Kota Kinabalu.
YB Datuk Bolkiah Haji ISmail dalam ucapannya berkata pakej pelancongan berbasikal 'CC1M Sabah Bike Ride - Bah, Let's Go Cycling' ini dibangunkan untuk mempelbagaikan lagi produk-produk pelancongan domestik agar dapat menarik minat rakyat tempatan untuk bercuti dalam negara terutamanya di Sabah ini.
"Namun begitu, pakej ini turut ditawarkan kepada pelancong asing sekaligus menjadi tarikan baru di Kota Kinabalu terutamanya aktiviti berbeca " katanya lagi.
Beliau berkata bahawa pakej berbasikal ini bukan sahaja memberi peluang kepada para pelancong untuk menikmati keindahan Sabah dengan lebih dekat lagi malah boleh membantu meningkatkan kecergasan mereka.
Di samping itu juga, sebanyak 10 buah hotel di Kota Kinabalu telah bersetuju untuk bekerjasama dalam mempromosikan pakej berbasikal yang direka khas untuk para pelancong yang menginap di hotel-hotel tersebut. Antara pakej yang ditawarkan ialah KK City Ride, Fun & Easy Ride dan Easy Breezy Ride. Risalah pakej berbasikal ini juga turut mengandungi pakej berbeca yang merupakan antara tarikan terbaru di Kota Kinabalu.
Acara Berbasikal & Berbeca
Sejurus melancarkan pakej pelancongan berbasikal 'CC1M Sabah Bike Ride - Bah, Let's Go Cycling & KK Heritage with Trishaw Tour', YB Datuk Bolkiah Haji Ismail telah berbasikal sejauh 3.5 kilometer bersama orang kenamaan lain bermula dari Dataran Bandaraya hingga ke Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan menamatkan kayuhan beliau di Dataran Bandaraya semula.
Acara berbasikal dan berbeca ini disertai lebih daripada 150 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk ahli-ahli Persatuan Berbasikal Kota Kinabalu, para pelajar dari Kolej Cosmopoint, kakitangan Kementerian Pelancongan, Tourism Malaysia, dan 21 buah beca.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Trecey J. Tojuka, Pegawai Pelancongan Kanan, Tourism Malaysia Sabah di 088-211732 atau emel tracey@tourism.gov.my
__________________________________________________________________________________________________