PELANCARAN PAKEJ BERBASIKAL CUTI-CUTI 1MALAYSIA SEMPENA KAYUHAN SIHAT 1MALAYSIA
Menteri Pelancongan Malaysia, YB Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen telah melancarkan "Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia" tersebut di Taman Tasik Raub di sini hari ini bersempena dengan acara "Kayuhan Sihat 1Malaysia" anjuran Kelab Berbasikal Reborn Raub dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan Pahang.
Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen dalam ucapannya berkata pakej-pakej pelancongan berbasikal perlu dibangunkan dan dipromosikan secara agresif kerana trend pelancongan berbasikal kini sedang berkembang dengan pesatnya di serata dunia.
"Para pelancong di seluruh dunia mula memilih untuk melancong sambil berbasikal kerana ia lebih santai, menyihatkan badan serta mesra alam dan trend ini juga telah mula mendapat tempat di kalangan rakyat tempatan," kata beliau lagi.
Beliau berkata bahawa penghasilan pakej tersebut juga menampakkan kreativiti para pengusaha pelancongan tempatan untuk mempelbagaikan produk-produk pelancongan di negara ini sekaligus menarik minat para pelancong domestik dan luar negara untuk melancong sambil berbasikal di pelbagai destinasi di Malaysia.
Antara pakej-pakej menarik yang ditawarkan termasuklah:
• "Raub Cycling Package" - Pakej 2 hari 1 malam dari RM350.00 seorang (minimum 50 orang) dan RM400.00 seorang (minimum 30 orang) termasuk penginapan di Homestay Sungai Pasu, Raub, sarapan pagi/makan tengahari/makan malam dan aktiviti berbasikal di sekitar ladang durian Sang Lee, kilang tauhu, kilang kacang tanah dan Air Terjun Berembun.
• "Bicycle Tour Experience in Georgetown World Heritage Site"(Penang) - Pakej 2 hari/1 malam dari RM199 seorang (minumum 4 orang) termasuk penginapan hotel, pengangkutan pergi balik dari hotel ke lapangan terbang, sarapan pagi/makan tengahari dan aktiviti berbasikal di sekitar bandar Georgetown (Heritage/Arts/Traditional Trades/Food).
• "Perak Heritage Cycling Tour"- Pakej 2 hari 1 malam dari RM290.00 seorang (minimum 10 orang) termasuk penginapan 1 malam di hotel bertaraf 2 bintang di Ipoh, pengangkutan disediakan untuk lawatan, sarapan pagi/makan tengahari & malam serta aktiviti berbasikal di sekitar bandar raya Ipoh (Jejak Warisan).
• "Photography Package" (Paya Indah Wetlands, Putrajaya) - Pakej lawatan separuh hari dari RM120.00 seorang di Paya Indah termasuk lawatan ke Zon Rekreasi, Zon Pendidikan, Zon Pemuliharaan (Zon Eko Semulajadi) dan aktiviti berbasikal dan melihat matahari terbenam.
• "Kinabalu Mountain Biking" - Pakej 5 hari 4 malam dari RM1,499.00 seorang (minimum 4 orang) termasuk penginapan di hotel 3 bintang dan rumah tumpangan, pengangkutan darat, sarapan pagi/makan tengahari dan makan serta aktiviti berbasikal di Gunung Kinabalu.
Acara Kayuhan Sihat 1Malaysia
Sejurus melancarkan Pakej Berbasikal CC1M, Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen telah berbasikal sejauh tujuh kilometer bersama lebih kurang 300 orang pelajar sekolah mengelilingi bandar Raub.
Selain itu, lebih kurang 500 peserta dewasa telah menyertai acara kayuhan sepanjang 25 kilometer yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu road bike (terbuka dan veteran), mountain bike dan kategori wanita.
Sebanyak 100 hadiah cabutan bertuah telah disediakan untuk peserta kayuhan 7km termasuk tiga buah basikal Mountain Bike Polycol dan dua basikal berjenama Le-Run manakala sebanyak 60 hadiah cabutan bertuah telah disediakan untuk peserta kayuhan 25km dengan hadiah utama seperti TV LCD, Basikal Pixie dan barangan elektrik.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Maizura Abd. Hamid, Pegawai Pelancongan Kanan, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di 03-8891 8407 atau emel maizura@tourism.gov.my.
Disediakan oleh: Bahagian Komunikasi dan Publisiti, Tourism Malaysia
Tel: 03-8891 8000 Faks: 03-8891 8788
Laman web: www.tourismmalaysia.gov.my
Facebook: http://www.facebook.com/friendofmalaysia
Twitter: http://twitter.com/tourismmalaysia
Blog: http://blog.tourism.gov.my
_______________________________________________________________________________